Isnin, 5 Disember 2016 | 12:06am

Hafidz Roshdi dakwa dianiaya ketika nama digugurkan

MEMBINA kredibiliti tersendiri sebagai pelakon, namun masih ramai yang skeptikal dengan kemampuan pelakon yang memuncak populariti menerusi drama rantaian, Tundukkan Playboy Itu, Hafidz Roshdi untuk terus bertahan dalam industri.

Deretan cerita negatif yang berterusan mengekori jejaka berusia 22 tahun itu, malah masih tidak bernoktah selepas memikul tanggungjawab sebagai suami kepada Nurul Shuhada Mat Shukri membuatkan ramai tertanya-tanya, sejauh mana Hafidz serius dalam kerjaya seni?

Bermula dengan pertelingkahan bersama gandingannya dalam Tundukkan Playboy Itu, Uqasha Senrose di laman sosial, Hafidz terus diasak dengan cerita negatif terutama masalah disiplin di lokasi penggambaran hingga menimbulkan kemarahan pelakon senior.

Sedikit masa lalu, Hafidz dikatakan menimbulkan masalah hingga namanya digugurkan daripada membintangi drama rantaian, Awak Sangat Nakal yang membariskan Ayda Jebat dan Sharnaaz Ahmad sebagai pelakon utama. Disebabkan sikap acuh tidak acuhnya, Sharnaaz pernah menempelak Hafidz di laman sosial.

Biarpun ia sudah beberapa bulan berlaku, namun baru kini Hafidz bersedia menjelaskan perkara sebenar. Mempertahankan diri, Hafidz berkata, apa yang berlaku bukan berpunca daripadanya dan Sharnaaz tidak sewajarnya meletakkan kesalahan penuh di atas bahunya.

"Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan orang lain kerana ia sudah lama berlalu. Memang sepatutnya watak ustaz dalam drama itu menjadi milik saya, tetapi bukan rezeki untuk saya beraksi dalam Awak Sangat Nakal. Diikutkan hati, saya memang teruja dapat berlakon bersama Sharnaaz.


PELAKON, Hafidz Roshdi. - Foto Muhammad Sulaiman

"Saya menghormati Sharnaaz sebagai pelakon senior. Sebelum memasuki set penggambaran, kami sudah melakukan latihan dialog untuk babak yang membabitkan kami bersama. Selepas nama saya disingkirkan, saya dapat tahu Sharnaaz mengamuk dan bengang.

"Kenapa perlu Sharnaaz memarahi saya kerana saya tidak berbuat salah dengannya," kata Hafidz kebingungan.

Hafidz berkata, semua masalah itu tercetus apabila dirinya tidak dimaklumkan mengenai masa sebenar untuk ke lokasi penggambaran.

"Jika tahu saya perlu berada di lokasi penggambaran sebelum jam 3 petang, sudah pasti saya akan tiba sebelum waktunya. Nama saya tidak dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp barisan pelakon yang terbabit dalam drama itu. Jadi, saya tidak tahu apa-apa mengenai jadual penggambaran.

"Kebetulan pada hari yang sama, saya perlu menghadiri mesyuarat bersama produksi drama lain di TV3 dan hanya berakhir pada jam 5 petang. Saya dimaklumkan produksi supaya segera ke lokasi penggambaran. Disebabkan memandu kereta yang dipinjam daripada kawan, saya terpaksa ke Shah Alam terlebih dulu untuk memulangkannya.

"Selesai solat Maghrib, saya mahu bergerak ke lokasi penggambaran tetapi dimaklumkan produksi tidak perlu datang. Ketika itu, saya mendapat tahu nama saya digantikan dengan pelakon lain. Saya berasa diri seperti dianiaya," katanya.

Biarpun pernah dipuji penerbit Sheila Rusly kerana sentiasa mengekalkan disiplin setiap kali Hafidz beraksi di bawah produksi JS Pictures, ia bagaimanapun masih belum mampu membersihkan namanya yang sudah tercalar. Ramai menganggap, Hafidz takut dengan cara kerja pelakon itu membuatkan dirinya sentiasa berjaga-jaga apabila berlakon di bawah produksi Sheila.


HAFIDZ Roshdi bersama isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Kata Hafidz, selepas berumah tangga, dirinya berusaha untuk tidak lagi menimbulkan masalah kepada produksi kerana lakonan adalah punca rezeki utamanya.

"Saya tidak nafikan, pada permulaan berlakon, saya sering membuat masalah. Tetapi, selepas berkahwin, saya berazam untuk berubah dan menjaga reputasi. Mungkin kerana tanggapan itu sudah sebati, ramai yang menganggap saya masih sama dan tidak berubah.

"Selepas berkahwin, saya tidak mahu lagi membuat masalah. Tanyalah kepada produksi yang pernah bekerja dengan saya, apakah saya masih menimbulkan masalah? Saya juga tidak lagi mengambil tawaran serentak terutama ketika berlakon dalam produksi yang memerlukan komitmen panjang," kata pelakon yang sedang popular dengan drama Mr Donat Karamel itu.


SELEPAS berkahwin, Hafidz berazam untuk berubah dan menjaga reputasi. - Foto Saifullizan Tamadi

INFO

  • Populariti Hafidz Roshdi memuncak menerusi drama rantaian 'Tundukkan Playboy Itu'
  • Sering dikaitkan dengan masalah disiplin di lokasi penggambaran
  • Selepas berkahwin, Hafidz berazam tidak mahu lagi terbabit sebarang masalah
  • Dipuji penerbit, Sheila Rusly, sepanjang bersama produksi, JS Pictures
  • Sedang popular dengan drama 'Mr Donat Karamel'
82 dibaca
HAFIDZ diasak dengan cerita negatif terutama masalah disiplin di lokasi penggambaran hingga menimbulkan kemarahan pelakon senior. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X