Ahad, 4 Disember 2016 | 6:08pm
ANIS Fatihah Hishammuddin.

Remaja hilang ditemui lemas


KEADAAN air bertakung di lokasi kejadian di Kampung Bemban, Kangkong, Pasir Mas, hari ini. - Foto ihsan polis

 

KUALA KUBU BHARU: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti perkhemahan di Air Terjun Sungai Chiling, Pertak, di sini, semalam, ditemui lemas, pagi tadi.

Mayat Anis Fatihah Hishammuddin, 14, ditemui oleh dua Orang Asli di kawasan air terjun, kira-kira satu kilometer dari tapak perkhemahan sekitar jam 10.30 pagi.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata mayat mangsa ditemui tersangkut di celah batang pokok di tengah sungai berkenaan.

"Mangsa sudah dikenal pasti oleh keluarganya dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menyertai aktiviti perkhemahan dan lemas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, mangsa disedari hilang oleh rakannya ketika menyertai aktiviti 'night walk' kira-kira jam 2.10 pagi selepas terdengar suara orang menjerit dari arah sungai.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Darul Kifayah, Gombak, menyertai program Perkhemahan Remaja Unggul 'Jiwa Perwira' anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Tun Razak selama tiga hari bersama 56 peserta lain di air terjun terbabit.

Berita Harian X