Ahad, 4 Disember 2016 | 5:58pm

Mesej dakwah dalam filem perlu pandangan pakar

KOTA BHARU: Mesej berunsur dakwah yang ingin disampaikan melalui filem akan lebih tepat jika membabitkan pandangan pakar agama.

Atas tujuan itu, bengkel penulisan skrip filem pendek berunsur dakwah dianjurkan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini, membabitkan 38 guru Pendidikan Islam dari seluruh negara.

Timbalan Pengarah Pengajian Dakwah dan Syiar Islam BPI, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kamariah Isa, berkata bengkel itu adalah suatu inovasi dan perluasan dakwah menerusi medium industri kreatif perfileman kepada masyarakat.

"Kursus ini akan memberi nilai tambah kepada peserta, yang juga guru Pendidikan Islam dalam menyediakan bahan sokongan dakwah kepada kelompok sasaran.

"Bengkel ini juga memberi panduan kepada mereka untuk mengetahui kaedah menghasilkan sebuah skrip filem pendek bermutu untuk tujuan dakwah," katanya selepas menutup Bengkel Penulisan Skrip Filem Pendek Berunsur Dakwah Peringkat Kebangsaan 2016 di PCB Resort, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Mohd Hang Tuah Ismail, 44, berkata, beliau mendapat pendedahan lebih luas terhadap penghasilan skrip yang boleh dimanfaatkan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

"Sebelum ini, saya menulis skrip dalam penghasilan video pendek untuk kegunaan ketika mengajar.

"Dengan pendedahan yang lebih luas dalam bengkel ini, saya harap dapat menghasilkan klip video pendek yang lebih bermutu dalam menyampaikan dakwah kepada pelajar," katanya.

13 dibaca
Berita Harian X