Ahad, 4 Disember 2016 | 12:10pm

Haliza Misbun jawab tuduhan baran, 'kekwat'


PELAKON era 1990-an, Haliza Misbun. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Biarpun kelibatnya jarang dilihat baik di majlis hiburan mahupun produk filem dan drama, pelakon era 1990-an, Haliza Misbun masih tidak terlepas daripada diburu kontroversi.

Gelaran baran, 'kekwat' (sombong) dan sukar bekerjasama bagai sudah menjadi takrifan umum terhadap pelakon drama bersiri Cinderella yang meledak pada pertengahan 1990-an ini.

Tenang berdepan kata-kata orang, Haliza percaya apa yang diperkata dan difikirkan orang lain terhadap dirinya adalah refleksi kepada individu terbabit.

Haliza berkata, selalunya, dia hanya memberi maklum balas terhadap apa yang diperkatakan kepada dirinya.

"Saya juga cermin kepada diri anda. Saya memberi respons terhadap apa yang anda berikan. Kalau anda baik dengan saya, saya 10 kali baik dengan anda.

"Saya juga tidak akan menafikan apabila ada yang kata, saya sukar bekerjasama. Namun, sebelum anda mempersoal atau memberi kenyataan itu, anda boleh bertanya kepada diri anda sendiri, apa jenis 'masalah' yang anda sudah bawa dan berikan kepada saya?

"Apa yang berlaku pasti ada alasannya, kenapa bukan?," katanya ketika ditemui BH Online, baru-baru ini.

Tidak kenal, maka tidak cinta, tambah Haliza, sebelum percaya apa yang diperkatakan orang, adalah lebih baik seseorang itu mengkaji dulu dirinya.

"Begitu juga dengan sikap baran yang sering orang perkatakan. Saya tidak terkesan sebab sebelum anda berkata sedemikian, anda perlu tanya diri sendiri, apa yang anda sudah buat kepada saya," katanya.

Berita Harian X