Ahad, 4 Disember 2016 | 11:01am

Pemandu teksi mati ditikam


KETUA Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid. - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam kenderaannya dengan lima kesan tikaman di Kampung Kebun Lama, Jalan Terengganu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Kheng Heo Keong, 56, ditemui di tempat duduk belakang teksinya dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Mangsa dipercayai ditikam di leher, dada dan belakang tubuh.

Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan kejadian manakala motif pembunuhan masih disiasat.

Berita Harian X