Sabtu, 3 Disember 2016 | 6:12pm

Sukan SEA 2017: Lokasi dimuktamadkan awal Januari

TIMBALAN Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin lokasi pertandingan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat walaupun Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 masih mempunyai tempoh kira-kira lapan bulan sebelum dilancarkan secara rasmi pada Ogos tahun depan.

Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata MOM telah mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (Masoc) ke-29, baru-baru ini, berhubung beberapa perkara berbangkit dan mendapat maklum balas yang positif.

"Kita juga dimaklumkan mengenai beberapa perkara seperti jadual pertandingan, penginapan dan sebagainya.

"Saya yakin ia dapat diselesaikan selewat-lewatnya awal Januari 2017," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Eksekutif MOM ke-180 di Wisma MOM, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza memaklumkan MOM akan mengadakan pelbagai forum dan seminar bagi memantapkan persediaan kontinjen negara menghadapi Sukan SEA 2017.

Antaranya Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan SEA 2017 yang pertama bermula esok, Forum Atlet MOM (5-6 Disember), Seminar Kesedaran dan Anti-Doping MOM (14 Januari 2017) serta mesyuarat bersama ketua kontinjen dan pengurus pasukan pada Februari depan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, berkata MOM mencadangkan supaya atlet bertanding pada Sukan SEA 2017 tinggal di hotel berhampiran lokasi pertandingan bagi memudahkan perjalanan atlet terbabit pada hari pertandingan.

"Contohnya untuk acara boling, kita mencadangkan atlet boling tinggal di Hotel Sunway kerana ia berhampiran dengan Sunway Megalanes di Bandar Sunway. Kalau mereka tinggal di Kuala Lumpur, kita risau ia akan menimbulkan masalah kepada atlet untuk ke lokasi pertandingan," katanya.

Low berkata, pihaknya sudah menghantar borang pendaftaran awal kepada negara bertanding, yang perlu dihantar kepada MOM selewat-lewatnya 23 Disember ini, bagi memudahkan MOM menganggarkan jumlah atlet yang terbabit.

Sukan SEA 2017 dijadual berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Berita Harian X