Sabtu, 3 Disember 2016 | 3:43pm

Mourinho tuntut United serlah kebangkitan


PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho ketika memberi arahan pada anak buahnya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United di Old Trafford, baru-baru ini. - Foto AP

LIVERPOOL: Jose Mourinho kembali ke kawasan teknikal pada kunjungan ke Everton, esok dengan misi untuk mengubah prestasi mengecewakan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Mourinho mengharungi penggantungan satu perlawanan dari berada di tepi padang buat kali kedua musim ini, dengan United menewaskan West Ham 4-1 dalam Piala Liga.

Kejayaan dalam saingan bola sepak kalah mati seperti yang diraih pengurus sebelum Mourinho, Louis van Gaal yang memenangi Piala FA musim lalu, tidak semestinya dianggap mencukupi di Old Trafford.

Statistik juga tidak kelihatan begitu baik buat Mourinho pada masa ini kerana 20 mata yang dikumpul adalah paling rendah diraih skuad itu pada peringkat awal musim sejak 1989.

United mencatat kemenangan memberangsangkan dalam kejohanan lain termasuk menewaskan Feyenoord 4-0 dalam Liga Europa dua minggu lalu sebelum turut meledak empat gol ketika berdepan West Ham.

Namun, ia adalah kisah berbeza dalam liga dan Mourinho memerlukan keputusan terbaik di Goodison Park untuk menutup mulut pengkritik.

"Saya sentiasa mengharapkan kami menjaringkan gol, terutama apabila kami bermain dengan baik," kata Mourinho.

"Kadang-kadang, apabila anda tidak bermain dengan baik, anda hanya berharap sesuatu akan berlaku untuk menjaringkan gol - satu (daripada) set-piece, tendangan sudut, , kesilapan dan tindakan individu.

"Tetapi ini tidak berlaku kepada kami. Kami bermain dengan baik dan melakukan banyak perkara biasa untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan." - AFP

Berita Harian X