Jumaat, 2 Disember 2016 | 12:04am

Hanis, Hairul asuh sendiri Yusuf Iskandar, demi ilmu keibubapaan

HANIS Zalikha dan suami, Hairul Azreen, mempunyai alasan tersendiri apabila memilih untuk mengasuh si comel, Yusuf Iskandar, yang menjangkau usia lima bulan tanpa bantuan pembantu rumah,

Pasangan itu tidak kisah perlu bergilir-gilir menjaga Yusuf, biarpun masing-masing terikat dengan komitmen di pejabat termasuk temujanji perniagaan.

Ternyata kehadiran si comel yang turut menambat hampir 700,000 pengikut di laman Instagram milik si cilik, melengkapi kehidupan pasangan bahagia terbabit.

Tidak mahu melepaskan tanggungjawab penting kepada orang lain, Hanis dan Hairul tidak kisah bergilir menjaga amanah Allah itu sebaik mungkin.

Sekalipun perlu membawa Yusuf ke pejabat bagi menguruskan perniagaan, pasangan ini cuba untuk tidak berenggang dengan Yusuf.


ADA ketikanya Yusuf Iskandar turut dibawa ke pejabat ibu bapanya - Foto Instagram Hairul Azreen dan Hanis Zalikha

Boleh dikatakan, hampir sepanjang masa si kecil itu berada di bawah jagaan, pemantauan dan pemerhatian mereka. Bagai tak lekang kasih sayang pasangan muda ini kepada Yusuf.

BH berpeluang berkongsi keseronokan anak beranak ini pada sesi fotografi eksklusif di penthouse dua tingkat dengan nilai sewaan RM15,000 semalam tajaan Berjaya Times Square Hotel di ibu negara, baru-baru ini.

"Alasan utama saya dan suami tidak menggunakan pembantu rumah adalah kerana mahu menjaga Yusuf sepenuhnya.

"Biarpun ini kali pertama kami bergelar ibu bapa atau dalam erti kata lain, tiada pengalaman menjaga anak sendiri, ia menjadi ruang untuk kami menimba ilmu keibubapaan.

"Saya dan suami hendak betul-betul tahu soal perkembangan anak. Apa yang boleh, tidak boleh atau apa yang boleh dimakan dan sebaliknya. Bermacam-macam perkara kami mahu tahu dan lalui bersama sebagai ibu bapa," kata Hanis.

Hanis memberitahu, disebabkan Yusuf anak sulung, mereka mahu mengasuh sendiri demi mengumpul pengalaman.


HANIS dan Hairul mengasuh sendiri bayi mereka demi mengumpul pengalaman - Foto Instagram Hairul Azreen dan Hanis Zalikha

"Anak sulung ini biarlah dijaga dan difahami terlebih dulu. Selama ini, kami pernah menjaga anak saudara dan adik sendiri tetapi ia berbeza dengan anak kandung," katanya.

Hanis berkata, jika mereka beroleh rezeki mendapat anak kedua, dia dan suami mungkin menimbang mengupah pembantu, selepas faham selok-belok dan cara menguruskan bayi.

Fikir sebelum buka akaun laman sosial

Hanis yang mula dikenali sebagai penulis blog, bersyukur atas kelahiran Yusuf yang mengubah hidupnya dan Hairul.

Yusuf dilahirkan tepat pada jam 8.15 malam 3 Jun lalu di Hospital Pusrawi. Yusuf yang dilahirkan secara normal, mencatat berat 3.85 kilogram ketika itu.

"Betapa bertuahnya saya dan suami kerana kehadiran Yusuf melengkapi kehidupan kami. Banyak benda termasuk soal rezeki yang datang sebelum dan selepas kami berkahwin, ia jadi berganda.


GELAGAT Yusuf Iskandar sentiasa menarik perhatian hampir 700,000 pengikut instagram peribadinya. Foto Instagram Hairul Azreen dan Hanis Zalikha

"Banyak perkara yang tak dirancang tetapi terjadi lebih baik daripada apa yang dibayangkan. Yusuf pun tanpa diduga secara tiba-tiba menjadi perhatian ramai," katanya.

Hanis berkata, berdasarkan perhatian diberi peminat, dia dan suami berbincang apakah perlu mereka membuka akaun Instagram peribadi buat Yusuf.

"Persoalan itu menjadi satu perkara yang perlu difikirkan. Tetapi berbalik kepada prinsip saya yang lebih selesa melakukan sesuatu perkara pada masa dan situasi sebenar selain mengikut rasa hati, maka keputusan mewujudkan akaun laman bergambar popular itu terus tergantung.

"Selepas melahirkan Yusuf, saya masih teragak-agak dengan soal itu. Hanya sebulan kemudian dan selepas melihat perkembangan dirinya depan mata, hati mula rasa bulat untuk terus mewujudkan akaun terbabit," kata Hanis.

Selepas menimbang beberapa perkara, akhirnya akaun Instagram atas nama @theyusufiskandar perlahan demi perlahan mencuri mata peminat anak kecil mereka.


KEHADIRAN Yusuf Iskandar melengkap kehidupan Hanis dan Hairul - Foto Instagram Hairul Azreen dan Hanis Zalikha

"Saya sendiri terfikir bagaimana kalau telefon bimbit yang memuatkan gambar dan video dirinya hilang. Apa alternatif yang kami ada.

"Hairul juga bersetuju dengan apa yang saya fikirkan. Setidak-tidaknya kalau sudah dimuat naik di laman sosial, gambar itu akan kekal disimpan. Ia menjadi langkah keselamatan jika berlaku perkara yang tak diingini terhadap telefon bimbit kami," katanya.

Namun, Hanis tidak menyangka Yusuf pantas menarik perhatian ramai dalam tempoh lima bulan usianya.

"Ketika ini, saya dan Hairul ada akses ke atas akaun Yusuf. Jadi kalau masing-masing hendak memuat naik atau mengemas kini perkembangan dirinya, kami akan melakukannya" katanya yang baharu muncul dengan produk kosmetik baharu iaitu pengilat bibir jenama Shadedough.

Belajar daripada anak buah

Bagi Hairul, pengalaman menjaga beberapa anak buah membantunya mengasuh Yusuf dengan baik. Hakikatnya, Hairul memiliki 15 anak buah yang banyak membantu dirinya memahami proses tumbesaran anak.

Hairul yang pernah merangkul gelaran juara Fear Factor Selebriti Malaysia bersama pelakon Dazrin, mengaku kelahiran Yusuf membuatkan dirinya berubah 360 darjah.


HANIS dan Hairul sepakat bergilir mengasuh Yusuf Iskandar - Foto Instagram Hairul Azreen dan Hanis Zalikha

"Selama ini, saya selalu menjaga anak buah. Jadi saya tahu serba sedikit asas menjaga kanak-kanak. Saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Kalau anak kecil menangis pasti bersebab. Cuma saya tak nafikan perbezaan menjaga anak sendiri dengan anak buah. Perhatian saya terhadap Yusuf amat tinggi.

"Kalau dulu anak buah menangis, saya biarkan saja. Tapi sekarang, anak sendiri menangis, saya bingkas bangun. Ketika ibunya berpantang, Yusuf kuat bangun malam. Setiap dua jam sekali, terjaga. Tapi sekarang sudah tidak sangat," kata Hairul yang menolak tawaran produksi teater Dia Semanis Honey bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Bercerita lanjut, Hairul terbuka jika ada pihak yang mahu menawarkan Yusuf menjadi duta produk.

"Setakat ini, hanya produk Hairul Hanis Junior saja yang dibawa khas oleh pengeluar barangan bayi, Pureen. Selepas ini, kalau ada dan kena pada caranya, saya dan Hanis akan menimbang.

"Selain itu, saya dan Hanis terbuka berkongsi perihal anak di laman sosial termasuk Instagram. Walaupun ada juga yang berpendirian sebaliknya, namun semua terpulang kepada diri sendiri.

"Jika diikutkan, setiap video dan gambar yang dimuat naik di laman sosial milik Yusuf mendapat jumlah 'likes' yang tinggi. Yusuf ini berangannya boleh tahan juga, sebenarnya. Tapi saya sangat bersyukur dengan apa yang dikecapi sekarang," katanya.

INFO

  • Hanis Zalikha dan Hairul Azreen bergelar suami isteri pada Jun tahun lalu. Mereka bernikah di kediaman keluarga Hanis di Shah Alam.
  • Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima wang hantaran RM91,019.90, simbolik tarikh lahirnya iaitu 9 Oktober 1990.
  • Hanis aktif dengan perniagaan tudung, pengilat bibir dan kolagen manakala Hairul menjalankan perniagaan permainan realiti maya, Captain VR di Ipoh. Dia juga mengendalikan studio penggambaran, Hello Studio dan menjual kemeja-T dan aksesori, Malead.
  • Pasangan suami isteri ini menghasilkan koleksi pakaian raya, His & Her tahun ini.

Penghargaan

Lokasi: Penthouse tajaan Berjaya Times Square Hotel, KL (terima kasih Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi, Alethea Lee dan AbelnAbel ( Instagram: @bthkl dan @abel.n.abel)

Solekan: Jijie Zainal (@jijiezainal)

Busana: Wanpa (Instagram: @wanpaofficial)

Tudung: Cakenis (Instagram: @cakenis)

HANIS hanya bercadang mendapatkan pengasuh apabila Yusuf Iskandar mendapat adik kelak - Foto Instagram Hairul Azreen dan Hanis Zalikha
Berita Harian X