Khamis, 1 Disember 2016 | 6:33pm

Raja baharu Thailand diisytihar petang ini


GAMBAR fail, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dalam satu majlis di Sanam Luang, Bangkok, Thailand pada 9 Mei lalu. - Foto EPA

BANGKOK: Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn akan diisytiharkan raja baharu Thailand lewat hari ini, membuka lembaran baharu kepada kerajaan monarki yang berkuasa di negara yang masih berkabung berikutan kematian bapanya.

Menurut jurucakap diraja, Vajiralongkorn, 64, mewarisi kerajaan yang paling lama memerintah Thailand, akan menaiki takhta, 50 hari selepas kematian Raja Bhumibol Adulyadej.

"Putera mahkota akan membuat ucapan penerimaan selepas memberi penghormatan di hadapan potret mendiang raja, pada majlis yang turut dihadiri pemimpin junta dan ahli Dewan Undangan Negara," menurut satu kenyataan.

Raja ke-10 dari Dinasti Chakri itu akan memakai gelaran Rama X dan akan ditabalkan secara rasmi selepas upacara membakar mayat tahun depan.

Sementara itu, kuil Buddha di seluruh negara sudah diminta memukul gendang dan gong selepas pengisytiharan beliau petang ini. - AFP

Berita Harian X