Khamis, 1 Disember 2016 | 3:44pm

ARRC: Fazli Sham di landasan terbaik


Pelumba veteran negara, Ahmad Fazli Sham.

KUALA LUMPUR: Pelumba veteran negara, Ahmad Fazli Sham berada di landasan terbaik untuk menjuarai gelaran keseluruhan Underbone 130cc perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hujung minggu ini.

Pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor itu kini berada di tempat kedua keseluruhan kategori terbabit selepas mengumpul 110 mata dan hanya dipisahkan tiga mata di belakang pendahulu dari Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana.

Selain Fazli dan dan Wahyu, dua lagi pelumba negara turut berpeluang meraih gelaran terbabit iaitu Mohd Izzat Zaidi dan Mohd Amirul Arif Musa dengan kedua-duanya berada di kedudukan ketiga dan keempat dengan 107 mata dan 106 mata.

Sambil mengakui Wahyu mempunyai kelebihan, Fazli berharap dia mampu menampilkan perlumbaan yang terbaik dalam usaha untuk membawa kembali kejuaraan ke Malaysia.

"Bagi saya, Wahyu mempunyai kelebihan kerana pasukannya, BKMS mampu menyediakan jentera yang sangat pantas. Namun jentera kami juga begitu kompetitif terutama sewaktu perlumbaan pusingan lepas di India. Rasanya kelajuan jentera kami mampu menyaingi jentera Wahyu.

"Pada masa sama, saya tidak boleh begitu fokus terhadap Wahyu kerana Izzat dan Amirul juga perlu diberikan perhatian terutama Amirul yang bijak menggunakan peluang dan strategi di selekoh terakhir sebelum ke garisan penamat," kata Fazli.

Jika berjaya, ia gelaran ketiga buat Fazli di dalam saingan Underbone Asia selepas memenangi gelaran Underbone 125cc pada tahun 2004 dan 2005.

"Kali terakhir pelumba Malaysia muncul juara Underbone ialah pada 2009 melalui Mohd Affendi Rosli," kata Fazli yang turut beraksi dalam perlumbaan Cub Prix.

"Saya berharap dapat membawa kembali piala tersebut ke Malaysia dan juga untuk melengkapkan musim cemerlang buat Maju Motor," katanya merujuk kepada pencapaian pasukan yang mendominasi perlumbaan CP130 dan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.

Berita Harian X