Khamis, 1 Disember 2016 | 3:34pm

Demi Cinta teruskan survival Ezad


BEKAS vokalis, Exist, Ezad Lazim. - Foto Khairul Azhar Ahmad

KUALA LUMPUR: Memanjat kesyukuran, bekas vokalis, Exist, Ezad Lazim menyifatkan single terbaharunya, Demi Cinta penyambung survival seninya yang pernah hampir rebah.

Kembali popular selepas menyertai musim kedua program realiti, Gegar Vaganca (GV2), Ezad yang menyambut hari jadi yang ke-37, semalam, percaya Demi Cinta memberi nafas baharu kepada hidupnya.

"Ketika bergerak solo, tidak dinafikan saya terkontang-kanting selepas tidak lagi bersama Exist.

"Namun, penyertaan dalam GV2 tahun lalu membuatkan nama saya kembali disedari. Saya amat bersyukur lagu Demi Cinta diterima ramai," katanya ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik Demi Cinta, di sini.

Selepas tujuh bulan single Demi Cinta ciptaan bersama Ezad dan Mohd Yassin dengan lirik dihasilkan Iman Imran dilancarkan, video muziknya ditonton lebih tiga juta kali di YouTube.

Mengulas mengenai kegagalan Demi Cinta bolos pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-31, Ezad berkata:

"Saya tahu ramai yang kecewa apabila lagu ini gagal mara ke peringkat akhir... Saya sendiripun kecewa. Namun, saya percaya ia bukan rezeki saya," katanya.

Ezad atau nama penuhnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim mengaku gementar memikirkan harapan peminat terhadap single seterusnya.

"Saya harap selepas ini ada lagu baharu yang lebih baik atau setara dengan kehebatan Demi Cinta. Risau juga kalau nak bikin lagu baharu kerana ada yang membandingkannya dengan dendangan lama.

"Insya-Allah, tahun hadapan saya bercadang menghasilkan album mini dengan memuatkan lima lagu," katanya yang bercadang berduet dengan seorang penyanyi wanita.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan video muzik Demi Cinta, Ezad memberitahu, dia sepatutnya berlakon dalam klip itu.

"Namun, disebabkan masalah kesihatan, semua itu terpaksa dilupakan," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X