Khamis, 1 Disember 2016 | 9:58am

Pengurus kilang maut kemalangan

BUKIT MERTAJAM: Seorang pengurus kilang maut apabila kereta dipandunya terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori berhampiran bulatan Jalan Perusahaan Perai, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, Yeong Peng Foo, 53, maut selepas gagal keluar dari keretanya yang terbakar selepas berlanggar dengan lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah bersendirian, bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 51 tahun.

"Mangsa yang memandu dari arah pulau menuju ke sebuah bulatan di Jalan Perusahaan Prai di sini, tidak menyedari sebuah lori yang ketika itu sedang membelok untuk masuk ke sebuah kilang.

"Kereta mangsa kemudian berlanggar dengan lori berkenaan sebelum terbakar," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Prai bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran berkenaan, namun mangsa tidak dapat diselamatkan.

Berita Harian X