Rabu, 30 November 2016 | 8:14pm

Malaysia Airlines catat kemajuan kewangan, penumpang


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group Bhd, Peter Bellew

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd mencatatkan kemajuan yang mantap dari segi pendapatan dan muatan penumpang pada suku ketiga 2016 serta yakin mencapai sasaran lebih awal, dengan kawalan kos terus menjadi tumpuan utama.

Indeks perkhidmatan pengguna syarikat penerbangan nasional itu terus pulih berikutan kemajuan kukuh diperkenalkan dalam suku dikaji.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group Bhd, Peter Bellew, berkata tumpuan dalam separuh pertama adalah mengurangkan kos dan mempertingkatkan pengalaman pengguna.

Beliau berkata, bermula Julai 2016, pihaknya mula memberi penekanan menjana pendapatan dengan jualan agresif dan inisiatif pemasaran.

Katanya, faktor muatan penumpang bagi suku ketiga mencatatkan kemajuan kepada 79 peratus berbanding 69 peratus pada suku kedua dan 74 peratus pada suku ketiga 2015.

"Sukuan itu memperlihatkan pelan pengembangan dengan tempahan sehingga 50 pesawat Boeing baharu, 737 MAX. Malaysia Airlines juga memperluaskan jaringannya dengan melancarkan sembilan laluan baharu ke China bagi 2017.

"Dengan tempat duduk boleh baring dan makanan dipertingkatkan dalam kelas perniagaan bagi pesawat badan lebar memperlihatkan peningkatan 20 peratus dalam tempahan awal bagi tempoh enam bulan.

"Kemajuan selanjutnya juga dibuat dalam membangunkan penggantian kepemimpinan tempatan, dengan pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai COO (Ketua Pegawai Operasi)," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, syarikat penerbangan nasional itu juga sedang berusaha ke arah memuktamadkan rancangan membentuk syarikat penerbangan baharu dengan menggunakan enam pesawat A380 bagi perkhidmatan pasaran haji dan umrah.

Pada tahun depan, syarikat penerbangan itu menjangka akan membawa lebih 15 juta penumpang.

Berita Harian X