Ahad, 7 Disember 2014 | 4:15am

Ahli Parlimen wajar beri sumbangan ikut Perlembagaan

Terdetik hati apabila Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang secara spontan dengan nada tegas menyuarakan bahawa banyak masalah di negara ini akan selesai jika semua pihak terutama Ahli Parlimen memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal itu, kata beliau sewaktu berucap dalam satu majlis pelancaran buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Kedua, baru-baru ini, dengan memahami Perlembagaan, Ahli Parlimen akan menyedari sumbangan yang perlu diberikan berasaskan Perlembagaan Persekutuan boleh memastikan kedaulatan dan keamanan negara terus terpelihara.

Kalau kita membelek buku Undang-undang Malaysia Perlembagaan Persekutuan, antara yang kerap dibangkitkan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat berhubung agama bagi Persekutuan, kebebasan diri, perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang, kesamarataan, kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan, kebebasan beragama, hak berkenaan pendidikan dan harta, kewarganegaraan, berkait kuasa Eksekutif dan Legislatif, berkait soal tanah dan rancangan pembangunan negara, peruntukan kewangan, perjalanan pilihan raya dan badan Kehakiman, bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu selain anak negeri Sabah dan Sarawak.

Soalnya sekarang ialah institusi Parlimen dihidangkan dengan isu-isu yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Sejarah, politik dan sistem undang-undang yang wujud pada sesuatu masa dalam sesebuah negara memainkan peranan yang utama dalam membentuk suatu badan perundangan.

Kata sarjana Perlembagaan Negara, dalam keadaan yang ekstrem, Perlembagaan mungkin akan menjadi alat yang mengesahkan penindasan dan kezaliman, terutama bagi golongan yang memegang kuasa. Dengan kata lain Perlembagaan berkenaan akan dilihat kehilangan signifikan.

Perlembagaan bertulis

Ada pula yang kata fungsi Perlembagaan sebagai brek kepada kuasa mutlak atau pemusatan kuasa, malahan Perlembagaan turut boleh dilihat sebagai satu keseimbangan. Seperti kata sarjana Barat, faham perlembagaan bermula dari masyarakat Greek. Menerusi 'kefahaman' inilah yang dikatakan membawa kepada timbulnya Perlembagaan bertulis, sesuatu yang dipraktikkan di semua negara pada era ini.

Dari sudut penafsiran, faham Perlembagaan amat perlu kerana ia adalah prinsip yang boleh menyelesaikan persoalan rumit dalam undang-undang perlembagaan. Keperluan ini wujud kerana ada kalanya pemakaian prinsip biasa undang-undang Perlembagaan membawa kepada timbulnya kesimpulan yang tidak munasabah.

Tafsiran tak masuk akal

Sememangnya apabila undang-undang ditafsir atau difahami dalam konteks berlainan, ia boleh menghasilkan tafsiran yang tidak masuk akal, malahan dalam keadaan ekstrem, ia boleh menentang semangat dan falsafah undang-undang itu sendiri. Sejarah tertubuhnya Perlembagaan Persekutuan pula jangan mudah dilupakan. Asas kesepakatan dalam kontrak sosial sehingga akhirnya tertubuh Perlembagaan Persekutuan perlu diteruskan sehingga bila-bila pun.

Penyelidikan yang dibuat dari sudut sejarah Perlembagaan dunia menunjukkan Nabi Muhammad SAW ialah orang pertama menulis Perlembagaan apabila menggubal Piagam Madinah apabila Baginda berhijrah ke Madinah pada 622 M.

Sarjana Barat, W Montgomery Watt dalam bukunya Muhammad at Medina menjelaskan 'Piagam yang tertulis adalah mengatur hubungan antara sesama kaum Muslimin, antara orang Muhajirin yang datang dari Mahkah dan orang Ansar yang menjadi penduduk asli di Kota Madinah dan pada satu bahagian lagi pula antara perjanjian kaum Muslimin di satu pihak dengan kaum Yahudi di satu pihak yang lain'.

Profesor H.A.R. Gibb menamakan Piagam Madinah sebagai penetapan legislatif dalam bukunya Muhammadanism terbitan tahun 1949, manakala George E Kerk menamakan Piagam Madinah yang dianggap 'lawgiver' (penggubal undang-undang) sebagai 'act' (undang-undang), dalam bukunya A Short History of Middle East dan seorang lagi sarjana Islam, Dr Muhammad Hamidullah dalam bukunya The First Written Constitution of The World menyatakan setiap fasal (Piagam Madinah) yang tertulis mempunyai maksud jelas sebagai suatu Perlembagaan.

Seperti kata Abu Zahar, perlu faham Perlembagaan itu adalah satu tugas yang amat penting. Seolah-olah kalau ditafsirkan secara tersurat membawa maksud 'nyawa' kepada sesebuah Perlembagaan yang boleh dijadikan tiang seri. Tanpa istilah faham, ia mungkin hilang seri dan sekadar menjadi sesuatu yang hanya mencatatkan pemerincian dan pembahagian kuasa, tetapi miskin dengan keadilan dan kemurniaan.

Penulis ialah penganalisis sosio media-politik dan institusi keparlimenan

Berita Harian X