Rabu, 30 November 2016 | 2:38pm

Sedia dana kecemasan syarikat terjejas banjir


TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong. - Foto Yazit Razali

KUALA NERUS: Kerajaan menyediakan peruntukan Dana Kecemasan PKS (SMEEF) untuk syarikat yang terjejas banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong, berkata usahawan atau syarikat terbabit boleh memohon melalui SME Corp Malaysia dan Malaysia Industrial Development Finance (MIDF).

Dana itu disalurkan dalam bentuk Skim Pinjaman Mudah dan Geran kepada PKS yang terjejas untuk pembiayaan pembelian mesin dan peralatan, pembelian bahan mentah atau stok serta pembiayaan pembaikan premis perniagaan.

"Dana ini merangkumi semua sektor ekonomi dengan pinjaman bermula daripada RM50,000 hingga RM100,000, di mana pembiayaannya sehingga 90 peratus daripada kos pembelian mesin dan peralatan, pembelian bahan mentah atau stok serta pembiayaan pembaikan premis perniagaan yang akan diuruskan oleh MIDF.

"Bagi pembiayaan geran, SME Corp menyediakan RM30,000 bagi setiap PKS untuk memperbaiki peralatan yang rosak dan mengubahsuai premis terjejas banjir," katanya selepas Program Turun Padang di Avialite Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Gong Badak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Wilayah Timur MIDF, Shahrin Abdullah dan Pengarah SME Corp Terengganu, Mohamad Ibrahim.

Tee Yong berkata, pada tahun lalu, RM5.1 juta geran diluluskan bagi PKS di Pahang, Terengganu dan Kelantan yang memanfaatkan 919 syarikat.

"Kita berharap dana ini dapat meringankan beban pengusaha PKS, selain membantu operasi serta perjalanan syarikat diteruskan seperti biasa," katanya.

Berita Harian X