Rabu, 30 November 2016 | 2:09pm

Budak maut, 3 cedera nahas tiga kenderaan

BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut selepas kereta dinaiki bersama ibu dan bapanya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 7, Jalan Simpang Lima-Parit Sulong, di Kampung Separap, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, Faid Haiqal Uzair, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Bagaimanapun, bapanya, Rosli Hamzah, 40; ibunya, Eryanti Hussin, 40, serta adiknya, Najlaa Munawwarah, 6, cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Mangsa mengikuti bapanya menghantar ibunya yang juga seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok, Semerah, dekat sini, untuk menghadiri mesyuarat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Avanza arah Batu Pahat terlanggar sebuah Perodua Viva.

Berikutan perlanggaran itu, Perodua Viva berkenaan yang dinaiki tiga orang terbabas ke arah bertentangan sebelum menghempap Proton Saga yang dinaiki Faid Haiqal Uzair bersama keluarganya yang menghala Batu Pahat.

"Faid Haiqal Uzair meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Perodua Viva yang cedera ringan dihantar ke HSNI untuk rawatan lanjut, manakala pemandu Toyata Avanza tidak mengalami kecederaan," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X