Sabtu, 6 Disember 2014 | 10:03pm
PEMAIN Filipina, Simone Mondiali Rota (tengah) diasak dua pemain Thailand, Chanathip Songkrasin (kiri) dan Kroekrit Thawikan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam tadi. - Foto EP

Piala AFF: Filipina ikat Thailand 0-0 di Manila

KUALA LUMPUR: Filipina gagal mengaut peluang beraksi di laman sendiri selepas seri 0-0 ketika bertemu bekas juara, Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam ini.

Tuan rumah memberi persembahan bertenaga di hadapan puluhan ribu penyokong mereka tetapi gagal menembusi gawang lawan yang kental.

Thailand bermula garang dengan menguasai babak pertama perlawanan namun gagal untuk membolosi benteng pertahanan Filipina.

Bagaimanapun, Filipina dengan nama jolokan 'Azkals', mempunyai dua peluang keemasan pada minit ke-54 dan 71 tetapi percubaan penyerang berbisa, Phil Younghusband pada kedua-dua situasi itu diselamatkan oleh penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Adisak Kraisorn dikenakan kad merah pada minit ke-61 selepas mengasari pemain pertahanan Filipina, Amani Aguinaldo.

Perlawanan timbal balik akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir pertama, Malaysia akan berdepan dengan Vietnam di Stadium Shah Alam pada jam 8 malam esok (Ahad).

Berita Harian X