Rabu, 30 November 2016 | 12:02am
MASJID Taqwa Kissimmee, Florida.
MASJID Taqwa Kissimmee, Florida.

Kembara dakwah di bumi Florida

Pendakwah bebas


MASJID Taqwa Kissimmee, Florida.

TAMPA yang terletak 400 kilometer ke barat laut Florida adalah destinasi pertama kembara kami ke Amerika Syarikat (AS) atas jemputan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Center of Osceola County di Kissimmee, Florida.

Tujuan kembara kami adalah untuk bertemu saudara seagama bagi menyemarakkan iman dan amal semata-mata mengikat tali ukhuwah dan silaturahim.

Sesungguhnya, umat Islam itu bersaudara dan digalakkan mengembara supaya dapat berkenal-kenalan.


PENULIS, Abu Bakar Ali.

Terdapat kira-kira 23 masjid di Tampa yang kebanyakan bermula sebagai pusat penerangan Islam. Ada di antara masjid itu berasal daripada premis gereja yang telah lama ditinggalkan sepi, lalu dijual kepada warga Muslim keturunan India dan Arab.

Warga Muslim tempatan sangat mengalu-alukan orang Malaysia berkunjung ke Tampa kerana telah sekian lama ketandusan sentuhan dakwah orang Melayu. Ketika tahun 1980-an dahulu, pelajar Malaysia begitu aktif hingga menjadi orang tengah kepada perbalahan atau salah faham antara komuniti dari benua India dengan Arab.


MASJID Taqwa Kissimmee, Florida.

Disebabkan sifat hemah dan kepemimpinan yang tinggi pelajar yang belajar di Tampa, khususnya di Univerisity of South Florida, membolehkan komuniti Muslim di sana bersatu.

Itulah kualiti yang dirindukan penduduk Muslim di Tampa kerana sangat kurang pelajar Muslim Malaysia belajar di sana.

Syahadah serentak

Di sana, rombongan kami menumpang di Masjid Omar dan sepanjang empat hari kami dibawa menziarahi komuniti Muslim, sama ada di kediaman, premis perniagaan dan masjid berdekatan. Kami saling bertukar fikiran mengenai perkembangan di Malaysia.

Rombongan kami tidak mempunyai pengalaman luas dalam mengendali orang bukan Islam kerana kebanyakan masa di Malaysia kami luangkan untuk berinteraktif secara langsung dengan saudara sesama Muslim. Namun, pertemuan dengan dua anak muda memberi satu pengalaman baharu.

Shakil Young, berusia awal 30-an mengenali serba sedikit mengenai Islam daripada ibu saudaranya yang telahpun beriman. Beliau datang ke Masjid Omar menemani ibu saudaranya yang menziarahi ahli rombongan wanita kami.

Sementara itu, Alexander Slaughter pula, sedang bercuti untuk membuat penyelidikan dan kebetulan fikirannya sedang serabut lalu beliau singgah di situ selepas ternampak papan tanda bangunan masjid berkenaan.

Apabila Alexander bertanyakan perkembangan orang baru masuk Islam, kami menyarankan beliau menonton pengalaman jurulatih kesihatan peribadi Hollywood, Sister Zainab, yang dikongsi menerusi laman sosial popularnya.

Keesokan harinya, pada 17 November 2015, kami dikunjungi Shakil Young dan Alexander Slaughter secara serentak menjelang waktu solat Zuhur dan mereka yang saling tidak mengenali itu bersembang dengan kami selama beberapa jam sebelum menyatakan niat untuk memeluk Islam serentak.

Air mata gembira

Kami tergamam kerana tidak menyangka lawatan singkat yang cuma tiga hari di bumi AS, sudah ada non-Muslim yang mahu memeluk Islam. Bayangkan jika menetap di sini, berapa ramai lagi yang akan 'kembali' kepada Islam.

Setelah persetujuan dicapai, kami menunjukkan kaedah memeluk Islam mengikut sunah, iaitu mandi terlebih dahulu dan kemudian mengucapkan syahadah. Tanpa rasa tertekan mereka mandi di kamar mandi dalam masjid.

Selepas diberi taklimat asas mengenai Islam, solat, puasa, haji dan zakat mereka diberi maklumat organisasi Islam yang wujud di tempat tinggal masing-masing untuk memudahkan mereka belajar lebih lanjut selok-belok Islam.

Ada dalam kalangan kami menitiskan air mata kerana terlalu gembira menerima saudara baharu. Mereka meminta diberi nama Islam. Kami mengesyorkan Shakil mengekalkan nama asal sementara Alexander memilih Abu Bakar sebagai nama baharunya.

Daripada mesej Abu Bakar kepada kami pada Februari 2016, beliau menyatakan keadaan dirinya yang masih berpegang teguh kepada Islam. Pada Mac lalu, beliau menghantar mesej memberitahu baru menimang cahaya mata ketiga.

Berita Harian X