Selasa, 29 November 2016 | 5:43pm
Polis berjaya menumpaskan dan membongkar dua makmal haram memproses syabu serta merampas 16.8 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta. - Foto L. Manimaran

Polis tumpaskan sindiket proses syabu


Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dari 16.8 kilogram syabu 50 gram dadah disyaki ganja serta peralatan, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM220,000 yang dirampas dalam sebuan sekitar Ipoh di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. - Foto L. Manimaran

IPOH: Polis menumpaskan satu sindiket memproses dadah setelah menyerbu dua makmal haram dan merampas 16.8 kilogram syabu bernilai RM1.2 juta di sini semalam.

Seramai 11 ahli sindiket turut ditahan dalam operasi membabitkan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perak.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang, berkata 11 tangkapan itu membabitkan enam lelaki tempatan, tiga lelaki warga Sri Lanka, seorang lelaki warga Greece dan seorang wanita warga Indonesia, berusia antara 20 hingga 55 tahun.

"Polis turut merampas 50 gram dadah disyaki ganja serta menyita peralatan, kenderaan, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM220,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Chez Chiang berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pembabitan empat warga asing yang terbabit dalam sindiket berkenaan.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga 5 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

13 dibaca
Berita Harian X