Selasa, 29 November 2016 | 2:21pm

MSM tidak naikkan harga gula

BANDAR SERI JEMPOL: Pengeluar gula utama negara, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM), tidak akan menaikkan harga walaupun harga komoditi di pasaran dunia semakin meningkat.

Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata sebagai anak syarikat FGV, MSM sentiasa mematuhi arahan kerajaan kerana gula adalah antara barangan kawalan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kenaikan harga gula dunia menimbulkan kebimbangan kepada syarikat itu.

"MSM memang mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk mengkaji harga siling gula, namun kerajaan belum putuskan lagi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Tinju Tertutup Piala Pengerusi FELDA dan Akademi Tinju FELDA Wilayah Raja Alias di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Dr Lilah Yasin dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada.

Minggu lalu, MSM merayu kepada kerajaan supaya menaikkan harga siling gula antara 20 hingga 30 peratus daripada harga sekarang, iaitu RM2.84 sekilogram.

Mohd Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol, berkata pengeluaran gula dari dua kilang milik MSM di Pulau Pinang dan Perlis sebanyak 90,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk menampung permintaan penduduk negara ini.

Berita Harian X