Isnin, 28 November 2016 | 2:00pm

Pengarah agensi kerajaan di Labuan dibebaskan

LABUAN: Pengarah sebuah agensi Kerajaan Persekutuan di sini yang direman sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu BH, pengarah berusia 59 tahun itu bagaimanapun mungkin ditahan semula untuk disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Pengarah terbabit dibebaskan pagi tadi, manakala dua kontraktor berusia 40-an dari sebuah syarikat di sini yang turut ditahan berhubung kes sama dibebaskan daripada tahanan reman Jumaat lalu," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pada 21 November lalu, pengarah dan dua kontraktor terbabit masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Cawangan Labuan.

Difahamkan, pengarah terbabit disiasat selepas disyaki meminta habuan sebanyak RM100,000 daripada dua kontraktor berkenaan sebagai balasan meluluskan pelaksanaan projek medan selera di Labuan, tahun ini.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan 50 medan selera di sekitar pulau bebas cukai ini dengan kos keseluruhan dianggarkan RM12 juta.

Sebelum itu, SPRM membekukan 12 akaun bank milik pengarah terbabit dan ahli keluarganya yang dilaporkan mempunyai wang RM889,000, dipercayai sebahagian daripada jutaan ringgit yang disyaki diperoleh secara rasuah.

SPRM juga memanggil sembilan orang termasuk kakitangan kerajaan untuk membantu siasatan.

Berita Harian X