Isnin, 28 November 2016 | 12:10am

'Ratu Kontroversi' Tasha Shila ulas dakwaan suka bermusuh

KUALA LUMPUR: Setiap kali nama aktres ini disebut, pasti ramai yang mengaitkan kontroversi dan kisah panas yang pernah melingkari perjalanan seninya.

Dalam bertatih membina nama, Tasha Shila, 29, nampaknya lebih dikenali dengan cerita sensasi baik daripada penampilan seksi, kisah cinta dan kehidupan sosial yang mengundang syak wasangka.

Pernah hilang arah akibat dihambat kontroversi satu persatu, Tasha yang pernah meraih trofi Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2011, kembali daripada 'pertapaan' dengan semangat baharu.

Mengimbas kembali, sejak bertapak dalam dunia seni, nama beberapa selebriti dikaitkan dengan Tasha. Bakat baharu ini dikatakan sering berdepan masalah dengan rakan artis terutama wanita.

Misalnya, pelakon jelita, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa pernah mempertikaikan kemenangan Tasha merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular pada ABPBH 2011.

Tasha juga pernah dilanda krisis apabila hubungannya dengan teman lelaki yang dikenali sebagai Hans Wong, tahun lalu, putus di tengah jalan - kononnya gara-gara campur tangan penyanyi, Kaka Azraff.

Melihat satu persatu krisis membabitkan Tasha dan rakan artis lain, ada pihak menganggap pelakon drama bersiri, Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu suka bermusuh.

Lebih teruk, Tasha dikatakan meletakkan syarat untuk digandingkan dengan pelakon tertentu kepada syarikat produksi yang ingin menyuntingnya dalam projek drama atau filem.

Meluahkan isi hati kepada BH Plus, Tasha memberitahu, dirinya sering dipersalahkan akibat persepsi tidak benar yang sering dilemparkan segelintir pihak terhadap dirinya.

Jauh sekali bermusuh dengan teman artis, akui Tasha, dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk digandingkan dengan mana-mana selebriti. Tasha menjelaskan spekulasi yang timbul adalah andaian masyarakat. Ini kerana, luahnya, selama ini dia mengunci mulut.

"Percayalah, saya tiada masalah untuk digandingkan dengan sesiapa saja dalam industri seni. Apa yang timbul sebelum ini bukanlah dari mulut saya. Ia hanya andaian sesetengah pihak saja.

"Saya tidak pernah meletakkan mana-mana individu sebagai musuh kerana industri seni ini kecil saja. Saya berbesar hati untuk bekerja dengan sesiapa saja," katanya.


TASHA mengakui dirinya sering dipersalahkan akibat persepsi tidak benar yang dilemparkan pihak tertentu terhadap dirinya


TASHA (dua dari kanan) bersama rakan artis.

Trauma dengan lelaki

Mendasari hatinya, epilog hitam kegagalan percintaan lalu banyak memberi impak negatif terhadap kehidupan Tasha atau nama penuhnya, Natasha Sheila Abdul Razak.

Enggan tersasar dari landasan asal iaitu mencari rezeki untuk keluarga, Tasha, memilih untuk meletakkan fokus kepada kerjaya seni.

Dia tidak mahu 'terbabas' hingga memberi kesan periuk nasinya dalam bidang lakonan.

"Buat masa ini, saya tidak mahu bercinta lagi kerana ingin fokus kepada kerjaya seni. Soal hati dan perasaan diletakkan ke tepi kerana saya selesa dengan status solo yang dipegang sekarang.

"Jika dulu saya letakkan sasaran untuk berkahwin pada usia tertentu, sekarang semuanya diserahkan kepada kuasa Tuhan. Status solo banyak memberi manfaat kerana dapat memberi tumpuan kepada kerjaya, keluarga dan diri sendiri saja," katanya.

Tasha serik kerana banyak impiannya dalam bidang lakonan belum kesampaian gara-gara sering dihambat kontroversi.

"Ketika awal kemunculan saya sebagai pelakon, saya ada pelbagai impian untuk ditunaikan dalam persada seni. Namun, semuanya tersasar kerana gosip cinta.

"Sehubungan itu, buat masa ini saya memilih untuk menutup pintu hati bagi mencapai cita-cita dalam bidang lakonan," katanya.

Ternyata, kegagalan kisah cinta lalu sekali gus menjadikan Tasha trauma untuk menerima kehadiran lelaki sebagai teman hidup. Tidak hairanlah, Tasha memanfaatkan tempoh 'bercuti' selama setahun untuk merawat hatinya yang terluka dan mencari ketenangan.


PELAKON, Tasha Shila.

Berlakon teater bangsawan

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Tasha bakal menjayakan teater bangsawan Putera La Galigo yang berkisar asal usul kesultanan Selangor.

"Ini adalah pembabitan kedua saya di pentas teater. Keserasian bersama teraju utama Amar Asyraf tidak begitu sukar kerana kami pernah berlakon teater bersama-sama sebelum ini. Amar juga banyak memberi saya tunjuk ajar.

"Saya memegang watak sebagai Puteri Perak iaitu isteri kepada Amar. Oleh itu, saya mengabdikan tempoh dua bulan bagi memberikan sepenuh tumpuan terhadap watak dan selok belok dalam pementasan teater," katanya.

Selain Tasha dan Amar, teater bangsawan Putera La Galigo turut dibintangi Ainul Aishah, Datuk Ahmad Tarmimi, Ean Raja dan Akmal Ahmad. Ia bakal dipentaskan di Stadium Malawati, Shah Alam selama tiga hari mulai 17 Disember ini.

Tamat.

63 dibaca
TASHA pernah meraih trofi Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2011
NAMA sebenarnya, Natasha Sheila Abdul Razak.
Berita Harian X