Sabtu, 6 Disember 2014 | 5:10am
Masyarakat majmuk di Malaysia bukan penghalang ke arah membentuk Negara Madani. - Gambar hiasan

Konsep Negara Madani tarik perhatian dunia Arab

Ahli Pemegang Amanah Harakah Al-Adi dan Al-Ihsan, Dr Rabee Hammu (kanan) bercakap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014, yang dipengerusikan oleh Mahathir sambil diperhatikan Dr Muhammad.

Piagam Madinah ditulis ketika wahyu al-Quran masih diturunkan dan piagam itu menjadi dasar pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah dalam perjanjian atau kontrak sosial dibuat Baginda kepada sesiapa yang mahu menerimanya.

Perjanjian dibuat Rasulullah SAW di Madinah itu adalah hasil kesepakatan masyarakat pelbagai bangsa terdiri daripada suku Arab Islam, Arab Kafir dan Yahudi dalam perkara membabitkan corak pemerintahan, hubungan, hak dan tanggungjawab setiap kaum yang menjadi warga Kota Madinah.

Ini termasuk hak asasi dan kebebasan beragama untuk semua serta tanggungjawab negara terhadap warga negara bukan Islam selagi mereka menunjukkan taat setia. Kesatuan penduduk di Madinah memperlihatkan orang Yahudi juga dianggap ummah bersama masyarakat Islam.

Keunikan Piagam Madinah

Pada masa sama, semua pihak berkewajipan untuk melaksanakan perdamaian. Berdasarkan inti pati Piagam Madinah, negara Islam ketika itu telah memperlihatkan sikap toleransi, mementingkan peranan, tanggungjawab dan nilai murni dalam perpaduan ummah.

Itulah keunikan Piagam Madinah dan walaupun tidak dijelaskan secara terperinci oleh Presiden Parti Hims Algeria, Dr Abd Razzaq Moqri, tetapi menyebut mengenai penubuhan negara berasaskan kontrak sosial seperti dibuat Rasulullah SAW itu cukup untuk mengajak kita membuat penilaian yang wajar.

Perjanjian itu dijelaskan Baginda kepada warga Madinah yang mahu menerimanya dan sebagai warga negara mereka bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara melalui semangat bantu membantu termasuk mempertahankan negara daripada serangan musuh.

"Kontrak itu menjamin hak kumpulan minoriti kerana sebagai satu ummah, mereka mempunyai hak yang sama dengan orang Islam. Apabila ada yang hendak menyerang, tidak kira apa bangsa termasuk Yahudi, semua bertanggungjawab mempertahankan Madinah.

"Rasulullah SAW tidak paksa orang masuk Islam, tetapi Baginda mengajak orang kepada Islam. Pemerintah negara Islam tidak boleh paksa orang jadi Islamik tetapi patut mengislamkan masyarakat melalui dakwah, bukan secara paksaan," katanya.

Katanya, apabila sesebuah negara yang rakyatnya majoriti Islam, negara itu dianggap sebagai negara Islam, tetapi jika rakyatnya berbilang bangsa, negara perlu memenuhi keperluan semua rakyatnya. Justeru, pemerintah perlu menjelaskan dan menyebarkan dasar negara.

Beliau menjelaskan perkara itu dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Negara Madani, Idea Sekular atau Global pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Landasan bertukar pandangan

Sidang kemuncak selama tiga hari bertemakan Negara Madani dan Perspektif Islam itu anjuran bersama Yayasan Malaysia-Turki (MTF), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pusat Hubungan Arab-Turki (TAIM).

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 menjadi landasan kepada intelektual Muslim untuk bertukar pandangan, mengembang idea selain mengenal pasti realiti seterusnya membentuk dasar serta perancangan membabitkan isu kebebasan, keadilan dan kepemimpinan yang dihadapi masyarakat Islam.

Dr Abd Razzaq Maqri (kiri), Presiden Parti Hims Algeria dan Dr Muhammad Yusri (kanan), Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Mesir.

Dr Abd Razzaq berkata, negara boleh melakukan perubahan atau membuat pembaharuan dengan mengambil perkara baik yang tidak bertentangan ajaran agama, tetapi ia hendaklah dilakukan secara berperingkat selain diberi penjelasan mengenai perubahan itu.

Ini termasuk menjelaskan kepada rakyat kenapa sesuatu tindakan yang mungkin dilihat tidak sepatutnya diambil terpaksa dilakukan seperti melepaskan beberapa peraturan tidak sesuai pada sesuatu keadaan kerana terdapat banyak dalil yang menyokong tindakan diambil dalam keadaan tertentu.

"Negara boleh buat perubahan dan pembaharuan selagi tidak bertentangan dengan agama. Begitu juga dengan konsep Negara Madani, jika ada perkara positif yang boleh diambil maka tidak timbul masalah. Ini pernah dilakukan pada zaman Rasulullah," katanya.

Idea Negara Madani

Idea Negara Madani sebenarnya tidak popular dalam kalangan negara Arab, tetapi menjadi perbahasan apabila terma itu mendapat perhatian dan semakin popular selepas insiden Kebangkitan Arab yang melanda beberapa negara Islam.

Negara Madani direka oleh pihak yang ada kepentingan untuk mengeksploitasi situasi yang berlaku di negara bergolak supaya keadaan sama ada berterusan begitu atau mengikut kepada apa yang mereka hajatkan.

Hakikatnya, apa juga definisi Negara Madani ia tidak mampu memenuhi keperluan semua kerana pembinaan sebuah negara bangsa tidak sama mengikut kepada masyarakat, budaya, keperluan serta corak pemerintahannya.

Seperti penjelasan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Mesir, Dr Muhammad Yusri, politik yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam setelah merujuk kepada dalil wahyu adalah Islamik dan termasuk dalam politik Islam.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Analisis Terhadap Negara Madani dari Pandangan Islam' berkata, ada dasar yang mengikut Islam dan ada yang boleh berubah untuk disesuaikan dengan keadaan pada zaman itu.

"Politik Islam bertujuan menyelesaikan masalah orang ramai dan ia berjaya dilaksanakan pada masa lalu. Jadi kenapa sekarang kita kata tidak boleh. Ada juga undang-undang yang dibuat diterima ulama kerana tidak bersalahan dengan ajaran agama," katanya.

Katanya, masalah sekarang ialah konsep Negara Madani yang diperkenalkan memisahkan agama daripada politik, bersifat agresif dan meletakkan kuasa secara mutlak kepada rakyat untuk menentukan pemerintah.

Sedangkan politik Islam mementingkan keadilan, mengamalkan syura dan berjihad mempertahankan hak rakyat. Sementara rakyat pula perlu taat kepada pemerintah yang melindungi mereka.

Justeru katanya, agama perlu dikembalikan dalam pemerintahan dan urusan negara melalui Islamisasi Negara Madani mengikut kepada ajaran Islam yang memberi perhatian kepada keperluan rakyat, mengambil semua pendekatan yang membawa kejayaan dengan melakukan perubahan secara berperingkat.

Info: Piagam Madinah

* Ditulis ketika wahyu al-Quran masih diturunkan.

* Jadi dasar pemerintahan Rasulullah di Madinah.

* Perjanjian dibuat Rasulullah SAW hasil kesepakatan pelbagai bangsa terdiri daripada suku Arab Islam, Arab Kafir dan Yahudi.

Berita Harian X