Ahad, 27 November 2016 | 4:24pm

Hutan Lipur Chemerong, lokasi wajib kunjung buat pelancong


PENGARAH Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin (empat kiri) bersama peserta Eco Exploration 2016 di Hutan Lipur Chemerong.

DUNGUN: Bagi merancakkan lagi promosi Tahun Melawat Terengganu 2017 (TMT17), Tourism Malaysia Terengganu mengambil inisiatif mengetengahkan lokasi unik Hutan Lipur Chemerong, Hulu Dungun di sini, kepada umum melalui pembabitan pemain industri untuk merasai sendiri pelbagai tarikan di situ.

Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin, berkata Program Eco Exploration 2016 selama dua hari bermula semalam bertujuan mendedahkan tarikan di Hulu Dungun termasuk Chemerung kepada pemain industri seperti ejen dan pemandu pelancong dan media, sebelum diterjemah kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Beliau berkata ini kerana, pada tahun lalu seramai 35,280 pengunjung dari dalam dan luar negara datang untuk menikmati sendiri kenikmatan dan aktiviti yang diadakan di Hutan Lipur Chemerong.

Katanya, pelbagai aktiviti diatur untuk 21 peserta kali ini antaranya melepasi jurang tinggi, jalan berlumpur serta berliku sebelum tiba ke destinasi dituju dan menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).

"Sebenarnya, selain aktiviti ATV, terdapat banyak lagi tarikan di Hutan Hulu Dungun ini.

"Selain keindahan semulajadinya yang belum terusik, pengunjung ke lokasi ini juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti termasuk mendaki Gunung Berembun, memandu go kart, menyusuri sungai yang unik dengan aktiviti kayak, mendaki laluan Kubu Mat Kilau, memancing serta mandi manda di air terjun yang terdapat di lokasi ini.

"Namun apa yang kita harapkan, program ini dapat memberi impak kepada industri pelancongan termasuk penduduk di kawasan ini pada masa akan datang terutama dalam menjana pendapatan mereka dalam sektor pelancongan," katanya kepada BH.

Bagi peserta, Alwanie Hashim, 26, dari Tourism Terengganu berkata, beliau begitu teruja kerana dapat merasai pengalaman indah dan unik itu.

"Ia adalah antara lokasi wajib kunjung buat pelancong yang datang ke Terengganu," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X