Sabtu, 26 November 2016 | 6:58am
KERATAN akhbar BH.

Menjayakan agenda Melayu Maju


Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bergambar dengan ahli veteran UMNO Johor selepas merasmikan Persidangan Tahunan Veteran UMNO Bahagian-Bahagian Negeri Johor di Hotel GoodHope, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Pada Konvensyen UMNO Johor baru-baru ini, penulis memilih untuk bercakap mengenai tiga perkara. Pertama, cabaran terbesar UMNO ialah melakukan transformasi pemikiran dan agenda Melayu. UMNO mesti memacu segala usaha untuk membentuk Melayu Maju. Kedua, Melayu Maju ini mesti dijayakan dengan pendidikan termaju dengan kualiti terbaik dan bukan sekadar akses.

Ketiga, Melayu Maju mesti kembali kepada Islam dan nilai terbaik agama. Islam harus menjadi inspirasi untuk Melayu menjadi lebih berkemajuan dan berjaya. Kenapa penulis memilih ketiga-tiga perkara ini? Jawapan sangat mudah. Jika UMNO tidak menjawab persoalan jangka masa panjang ini, siapa lagi yang bertanggungjawab menjawabnya? Jika UMNO tidak memikirkannya, siapa yang akan melakukannya?

Tahun ini genap 70 tahun usia UMNO. Dalam tempoh panjang ini, kejayaan UMNO paling menyerlah ialah membebaskan Melayu daripada kemiskinan dan kemunduran. Kini, ramai Melayu yang menguasai perniagaan besar. Menjadi pengurus berjaya, menerajui bank, mengepalai syarikat multinasional, menyertai pertubuhan antarabangsa, menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menghidupkan industri dan menjadi tokoh agama. Akan tetapi, di sebalik semua hasil yang besar dan baik ini, orang Melayu secara keseluruhannya tidak terlepas daripada dua cabaran utama.

Pertama, masalah kebolehsaingan, kebergantungan dan lemah nilai berdikari mereka. Kedua, ketirisan dan salah keutamaan dalam tindakan afirmatif. Umum mengetahui hak dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah hak yang dijamin Perlembagaan. Begitu juga dengan pelbagai tindakan afirmatif yang UMNO perkenalkan untuk meningkatkan kebolehsaingan bangsa Melayu.

UMNO akan mengekalkan semua ini. Namun, selepas semua yang UMNO lakukan, orang Melayu masih dengan sikap meminta-minta, kebergantungan dan pemikiran bahawa dalam keadaan apa pun, UMNO itu ada dan UMNO terus berkewajipan membantu. Kerana mereka Melayu.

Melayu gagal bersaing

Pemikiran terkebelakang sebegini adalah masalah yang menyebabkan orang Melayu mundur. Masalah yang menyukarkan UMNO menjadi lebih progresif. Walaupun selepas segala yang UMNO lakukan untuk orang Melayu. Kebanyakan orang Melayu gagal bersaing atas merit. Lebih menyedihkan, anak Melayu yang kita bantu memasuki universiti, tidak memanfaatkan peluang menuntut ilmu dengan serius.

Akhirnya, mereka bergraduan dengan pencapaian rendah dan gagal mendapat tempat dalam pasaran kerja yang bermutu. Malah, kerajaan pula terpaksa membelanjakan jutaan ringgit lagi untuk terus melatih mereka dengan pelbagai skim khas. Ini semua juga menyebabkan ketirisan dalam usaha pengupayaan orang Melayu. Akhirnya, dana tidak mencukupi kerana yang perlu ditanggung semakin ramai. Apatah lagi, dalam keadaan kedudukan hasil negara yang semakin susut.

Kita percaya, sudah tiba masanya Agenda Melayu Maju diperkasakan. Orang Melayu mesti diselamatkan dari sikap serta cara berfikir yang tidak betul. Dari cara kerja yang tidak kompetitif dan tidak berdaya saing. Dari budaya suka meminta-minta. Dan caranya ialah dengan mengubah pemikiran dan sikap orang Melayu ini. Melayu mesti diasuh berdikari. Dibanteras pemikiran dan sikap terlalu bergantung pada hak dan bantuan. Sikap antipersaingan dan antikemajuan mesti berakhir.

Justeru, senjata paling penting bagi UMNO adalah dengan meyakinkan seluruh bangsa Melayu bahawa mereka mesti berubah. Maka, untuk menjayakan agenda Melayu Maju ini, penulis ingin menyarankan dua jalan.

Dua jalan jayakan Agenda Melayu Maju

Pertama, pendidikan berkualiti dan terbaik untuk Melayu. UMNO tidak lagi perlu khuatir cerita akses dan keciciran. Perkara ini berjaya diuruskan dengan cemerlang. Kini, masanya adalah untuk UMNO beralih dan memecut ke fasa berikutnya. Fasa menggandakan mutu dan kualiti pendidikan yang sesuai dan menjawab tuntutan kompetensi abad ke-21. Anak Melayu harus mempunyai kemahiran untuk hidup, berfungsi dan berperanan mengikut keperluan abad ke-21.

Hal ini kerana, akses pendidikan tanpa kualiti yang baik, ialah sistem pendidikan yang terkebelakang. Ia tidak akan menyediakan Malaysia yang berkemajuan. Akses tanpa kualiti, tidak akan menganjak Malaysia menjadi kuasa ekonomi berpengetahuan. Lebih kritikal, akses tanpa kualiti, tidak akan berupaya melahirkan generasi Melayu terbaik yang boleh memastikan kebolehsaingan Malaysia.

Kedua, Islam mesti menunjangi kelahiran Melayu Maju ini. Penulis tidak boleh membayangkan Melayu tanpa Islam. Islam tanpa Melayu, itu biasa. Namun, Melayu tanpa Islam, itu kejanggalan di luar kelaziman. Islam yang selama ini menjadi satu-satunya faktor yang membentuk keperibadian orang Melayu. Justeru, jika Islam itu terbukti sebagai faktor penting dalam pembentukan keperibadian dan peradaban Melayu, maka Islam juga harus terus penting dalam agenda melonjak pemikiran dan budaya terbaik bangsa Melayu.

Naratif baharu yang perlu diketengahkan oleh UMNO ialah, bagaimana Islam dan ajarannya, boleh membantu melonjakkan bangsa Melayu dan Malaysia, menjadi sebuah masyarakat terbaik? Bagaimana Islam, dapat meminjamkan nilai dan menjadi panduan menuju kemodenan? Bagaimana Islam, menjadi inspirasi untuk pemimpin kita menjadi lebih beramanah dan takut pada Penciptanya? Menghapuskan politik wang dan salah guna kuasa. Dan bagaimana Islam, secara keseluruhannya akan menjadi faktor paling penting dalam anjakan pemikiran orang Melayu menjadi bangsa berkemajuan.

Sesungguhnya, orang Melayu mendambakan pemikiran besar dan berani daripada UMNO. Jika tiada pemikiran besar dan berani, mengenai masa depan bangsa Melayu, maka UMNO boleh tersasar daripada misi utamanya untuk membawa kebaikan kepada bangsa Melayu. Jika UMNO ingin berkelangsungan lebih lama lagi, UMNO mesti mengambil pandangan jauh. Jalan pintas, bukan cara UMNO. Medan terbaik untuk UMNO membahaskan dengan tulus, misi besar sebegini ialah melalui Perhimpunan Agung UMNO minggu depan. Selamat bersidang.

Penulis adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri merangkap Menteri Besar Johor

12 dibaca
Berita Harian X