Sabtu, 26 November 2016 | 6:00am

Spurs bukan lawan Chelsea?

RUANGAN APA KATA EPL

SELEPAS aksi ke-12, Chelsea mengambil alih posisi pendahulu liga daripada Liverpool dengan kelebihan satu mata. Kelab itu menghimpun 28 mata, untuk meletakkan skuad The Reds dan Manchester City masing-masing di tempat kedua-dua dan ketiga.

Nampaknya Antonio Conte hanya memberi peluang sekali kepada barisan Jurgen Klopp untuk merasa berada di puncak, tatkala anak didik Pep Guardiola terus kempunan kembali bertakhta.

Adakah minggu ini Chelsea akan terus menguasai carta pendahulu atau dirampas kembali oleh Liverpool atau City? Melihat kepada jadual bagi aksi minggu ke-13 ini, saya jangkakan kemungkinan berlaku perubahan, adalah besar.

Minggu ini, The Blues bakal berdepan jiran mereka di London, Tottenham Hotspur. Aksi ini yang juga perlawanan tumpuan minggu ini akan berlangsung di Stamford Bridge, dengan tuan rumah memiliki rekod cemerlang ke atas pasukan pelawat itu.

Mengikut rekod 48 pertemuan terakhir bagi semua kejohanan, Chelsea nampaknya lebih baik berbanding Spurs. Mereka menang sebanyak 25 kali berbanding empat jirannya itu, selain kedua-duanya terikat sebanyak 19 kali.


PENGURUS Chelsea, Antonio Conte (kanan) berjabat tangan dengan pemainnya, Diego Costa selepas tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Middlesbrough di Stadium Riverside, minggu lalu. - Foto EPA

PEMAIN Tottenham, Harry Kane menjaringkan gol pertama pasukan ketika menentang Monaco dalam aksi Kumpulan E, Liga Juara-Juara di Stade Louis II, Monaco, pada Selasa. - Foto Reuters

Dan setakat ini Spurs tidak pernah menang pun di laman keramat The Blues itu. Dalam lima pertemuan terakhir, anak didik Conte menang sebanyak dua kali berbanding satu Spurs.

Dalam tiga aksi di Stamford Bridge, Chelsea menang 4-0 (8 Mac 2014), dan 3-0 (3 Disember 2014) selain terikat 2-2 ( 2 Mei 2016). Dari segi prestasi sebelum turun beraksi awal pagi esok waktu Malaysia, The Blues mencatat sembilan kemenangan, manakala enam buat Spurs.

Namun satu-satunya kelebihan dimiliki anak buah Mauricio Pochettino adalah mereka tidak pernah kalah dalam saingan liga selepas 12 perlawanan setakat ini. Keunggulan itu meletakkan mereka di tangga kelima liga dengan 24 mata.

Mungkinkah rekod itu dileburkan Diego Costa dan Eden Hazard awal pagi esok? Andai Costa dan Hazard mampu mencipta gandingan terbaik, saya percaya Spurs bakal tersungkur kali ini meskipun Harry Kane menyerlah di depan gawang.

Dalam pada itu, Liverpool dijangka tiada masalah untuk meneruskan rentak kecemerlangan mereka apabila menerima kunjungan kelab kedua terbawah, Sunderland di Anfield.

Andai menang dan Chelsea pula tewas, pasukan Klopp mampu kembali ke puncak pendahulu. Minggu lalu, kelab ini berduka selepas diikat Southampton 0-0 yang menyaksikan kedudukan mereka dipintas oleh Chelsea.

City yang diikat 1-1 oleh Borussia Mönchengladbach 1-1 dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu, berkunjung ke Burnley. Barisan didik Guardiola ini dijangka tiada masalah membenam lawannya itu untuk terus mengukuhkan kedudukan di puncak.

Satu lagi kelab gergasi, Manchester United pula berdepan lawan sukar apabila menyambut kunjungan West Ham di Old Trafford.

Kemenangan 4-0 ke atas Feyenoord dalam aksi Liga Europa itu harus menyuntik semangat anak buah Jose Mourinho untuk kembali mencipta kemenangan selepas seri 1-1 dengan Arsenal minggu lalu. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-13

Burnley FC 1 Man City 4

Leicester City 2 Middlesbrough 0

Swansea City 1 Crystal Palace 1

Hull City 2 West Brom 2

Liverpool 1 Sunderland 1

Chelsea 2 Tottenham 1

Watford 1 Stoke City 1

Arsenal 3 Bournemouth 0

Southampton 1 Everton 1

Man United 3 West Ham 1

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X