Sabtu, 26 November 2016 | 12:12am
HIDANGAN Vince Spaghetti di Vince Steakhouse di Kota Damansara, Petaling Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan
HIDANGAN Peter's Choice Beef Burger di Vince Steakhouse di Kota Damansara, Petaling Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan

Wagyu Australia, kambing New Zealand


PENGURUS Vince Steakhouse (Vince), Zulfakhri Ramli. - Foto Nik Hariff Hassan

KEMUNCULAN restoran menjadikan hidangan stik sebagai menu utama di bandar raya besar seperti cendawan tumbuh selepas, namun tidak banyak memberikan kepuasan berbanding harga mahal yang terpaksa dibayar.

Selain itu, bukan semua menghidangkan daging import terbaik sebaliknya mengambil pendekatan asal daging memadai menyediakan hidangan stik.

Ini berbeza sama sekali dengan Vince Steakhouse (Vince) yang bukan sekadar menawarkan keenakan rasa bahkan jaminan halal dagingnya yang diimport dari Australia.

Pengurusnya, Zulfakhri Ramli berkata, daging lembu ditawarkan termasuk wagyu mempunyai kualiti terbaik dan tidak banyak beza dengan mutu daging import dari Kobe, Jepun.

"Penggemar stik berupaya memberitahu kelembutan dan kesegaran rasa daging ketika dikunyah.

"Tekstur daging lembut yang disediakan separa masak dengan jusnya yang segar bertambah enak dengan rempah sebati," katanya.

Katanya lagi, pelanggan tidak perlu was-was menikmatinya kerana Vince meletakkan halal sebagai prinsip serta keutamaan. Bahkan, ia selaras makna Vince yang bermaksud penguasaan dalam bahasa Latin.

"Ia menunjukkan keseriusan kami dalam mengotakan janji menyediakan jaminan stik halal buat pelanggan," kata Zulfakhri.


HIDANGAN Vince Beef-Steak di Vince Steakhouse di Kota Damansara, Petaling Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan

Memilih sendiri

Vince Steakhouse menawarkan lebih 30 menu antaranya, wagyu ribeye steak marbelling 4/5, ayam panggang, spageti karbonara ayam, beef bacon fettuccine aglio e olio, salad waldorf ayam, salad Vince Steakhouse, burger daging Peter's Choice dan kepak ayam madu.

Bagi minuman pula, antara yang istimewa ialah Blue Fix Mojito, Avocado Milkshake dan Affogato Mocha.

Khusus hidangan stik, selain wagyu ribeye, pelanggan boleh mencuba lapan jenis yang lain antaranya, tenderloin, striploin dan sirloin.

Jika mahu mengubah dan mempelbagaikan selera, disyorkan memesan hidangan daging kambing dari New Zealand yang dipelihara dalam persekitaran halal sepenuhnya.

"Pelanggan boleh memilih daging di dalam peti sejuk beku sebelum memesan sebarang jenis masakan yang mereka inginkan. Harga bergantung pada berat dan jenis daging yang dipesan," katanya yang menyifatkan harga itu sangat berpatutan.

Tambahnya, dengan harga berpatutan itu, pelanggan berpeluang menikmati daging premium tinggi.


HIDANGAN ayam panggang di Vince Steakhouse di Kota Damansara, Petaling Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan

HIDANGAN Vince Spaghetti di Vince Steakhouse di Kota Damansara, Petaling Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan

Seperti masakan di rumah

Zulfakhri berkata, keutamaan bukan saja pada hidangan yang enak tetapi keunikan resipi rahsia yang menjadikan menu di restorannya itu melahirkan rasa seperti masakan di rumah.

"Kami tidak menggunakan perisa dan ramuan tidak asli.

"Misalnya, untuk sup cendawan pekat, kami memastikan ia diisi lebih cendawan berbanding menggunakan banyak tepung. Begitu juga patty daging burger yang disediakan dari dapur sendiri sebelum dihidangkan kepada pelanggan," katanya.

Mengenai konsep dan tema penataan restoran, Vince berusaha lari daripada kelaziman restoran serta kafe stik yang selalunya dipengaruhi suasana klasik dengan imej serius dan mewah.

Sebaliknya, hiasan dalaman restoran ini menjurus kepada suasana santai dan mesra kanak-kanak sekali gus menegaskan konsep orientasi keluarga.

"Bagi memberi keselesaan ibu-bapa menjamu selera, kami menyediakan suatu sudut khas untuk kanak-kanak bermain selain memperuntukkan enam sudut selesa dan lapang untuk sekeluarga duduk dan makan," katanya.


HIDANGAN pencuci mulut Vince Kopi-Icecream antara hidangan terlaris di Vince Steakhouse. - Foto Nik Hariff Hassan

Info Vince Steakhouse

Lokasi: Cova Square, Kota Damansara

Waktu Operasi: 11 pagi hingga 11 malam

Kapasiti Restoran: Memuatkan hingga 80 orang

FAKTA NOMBOR

  • 30 - Jumlah menu makanan
  • 28 - Jenis minuman ditawarkan
  • RM18 - Stik untuk daging 100 gram
  • RM78 - Stik dari daging wagyu 100 gram
57 dibaca
Berita Harian X