Jumaat, 25 November 2016 | 6:54pm

Indonesia hormati langkah Malaysia tangguh laksana B10


Bayu Krisnamurthi

NUSA DUA, Bali: Peserta sektor kelapa sawit Indonesia menghormati keputusan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan mandat B10.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dana Tanaman Estet Indonesia, Bayu Krisnamurthi, berkata keputusan itu dibuat berikutan pelaksanaannya memerlukan persediaan yang amat rapi.

"Kami memahami dan menghormati keputusan Malaysia untuk menangguhkan mandat bio diesel untuk B10. Indonesia adalah berbeza. Kami sudah mengumpul dana daripada pengeksport minyak sawit mentah dan minyak sawit ditapis.

"Kami akan meneruskan dasar kami untuk manfaat industri. Kami akan mengekalkan untuk penggunaan B20," katanya ketika ditemui di luar Persidangan Minyak Sawit Indonesia (IPOC) 2016, di sini, semalam.

Minggu lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, menangguhkan peningkatan mandat bio diesel semasa B7 kepada B10 berikutan peningkatan tinggi harga minyak sawit.

Pada bulan lalu, harga minyak sawit adalah pada purata RM2,900 setan di Bursa Derivatives Bursa Malaysia.

Indonesia melaksanakan program bio diesel B20 di bawah bidang kuasa Kumpulan Dana Tanaman Estet.

Bayu berkata, rasional pelaksanaannya adalah membantu mengurangkan stok minyak sawit republik itu, sekali gus menyokong harga sawit di pasaran antarabangsa.

"Apabila anda menggunakan perkataan 'subsidi', sila ingat bahawa wang yang dikutip adalah daripada pengeksport. Ia bukan daripada penanam kelapa sawit. Ia juga bukan daripada kerajaan," katanya.

Dana Tanaman Estet mengumpul AS$350 juta (RM1.55 bilion) daripada pengeksport minyak sawit pada tahun 2015. Pada tahun ini, ia dijangka mengumpul lebih AS$700 juta (RM3.11 bilion).

"Jumlah itu mencukupi untuk membiayai mandat bio diesel hingga suku ketiga 2017. Walaupun dalam senario kes terburuk yang mana seperti harga diesel yang rendah; kenaikan harga minyak sawit serta pengukuhan dolar AS," kata Bayu.

44 dibaca
Berita Harian X