Jumaat, 25 November 2016 | 2:34pm

Kunci Demak janji kejutan pada Konsert High Note 2016


(DARI kiri) Azlan Typewriter, Ziana Zain dan Jaclyn Victor. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Malam ini, pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya (IB), di sini bakal digegarkan dengan lontaran suara tiga penyanyi hebat iaitu Ziana Zain, Azlan Typewriter dan Jaclyn Victor.

Digelar Konsert High Note 2016, sudah pasti acara ini ditunggu-tunggu peminat yang mahu menyaksikan magis apabila tiga penyanyi dengan vokal tinggi bergabung.

Selalunya, apabila sesuatu konsert atau acara dianjurkan, jarang tumpuan diberi kepada tenaga di belakang tabir yang bekerja keras memastikan semua perancangan terlaksana.

BH Online mendapatkan Pengarah Muzik Konsert High Note 2016, komposer terkenal, Rudi Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Kunci Demak dipilih untuk berkongsi persiapan acara itu.

"Konsep konsert ini adalah 'high note' di mana masing-masing mempunyai julat suara mereka mencecah nada tinggi. Tugas saya adalah untuk mengimbangi antara melodi dan nada suara mereka supaya persembahan tidak menjadi 'monotonous'. Untuk itu, ada lagu ditukar nadanya.

"Daripada segi persiapan, kita sudah melakukannya secara berdikit sejak sebulan lalu. Bermula dengan menyenaraikan seberapa banyak lagu popular penyanyi terbabit kemudian disenarai pendek untuk disesuaikan dengan cita rasa penonton," katanya.

Rudi berkata, bagi menjadikan lagu lebih segar, perubahan terhadap susunan muzik asal perlu dibuat.

"Daripada segi susunan muzik secara keseluruhan, kita akan cuba buat sesebuah lagu lebih segar. Ada satu atau dua lagu yang kita buat eksperimen. Hendak tahu hasilnya, kita kena dengar nanti.

"Sebelum ini, saya pernah bekerja dengan Azlan dan Jac. Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Ziana. Pada saya, masing-masing mempunyai karakter vokal tersendiri.

"Saya cuba mencorakkan susunan lagu mengikut kesesuaian setiap artis," ujar komposer yang pernah menghasilkan banyak lagu popular antaranya Takkan Terpisah dendangan Black; Mungkin Saja (Janna Nick); Cinta Teragung (Hazama) dan Detik Antara Waktu (Misha Omar).

Berita Harian X