Jumaat, 25 November 2016 | 12:51am

Tuanku Abdul Halim perkenankan 207 RUU


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan bertitah pada Majlis Santapan Malam Menjunjung Kasih Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, di Kuala Lumpur malam ini. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (kanan) dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S.A. Vigneswaran (kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kerana memperkenankan 207 Rang Undang-Undang yang diluluskan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat, sepanjang tempoh pemerintahan baginda dari 2012 hingga 2016.

Pandikar Amin yang mewakili seluruh anggota Parlimen, berkata antara RUU berkenaan adalah RUU Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan) 2014 berkaitan gaji dan elaun anggota Parlimen yang tertangguh sejak 2012.

"Patik menjunjung kasih kerana sebagai Ketua Badan Perundangan, Tuanku mempunyai peranan penting dalam proses penggubalan undang-undang.

"Dengan limpah kurnia Tuanku sepanjang bersemayam di takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XIV, Tuanku telah memperkenankan akta-akta yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diwartakan menjadi undang-undang sah," katanya.

Pandikar Amin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Malam Menjunjung Kasih Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, di sini malam ini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis santapan malam anjuran Parlimen Malaysia itu.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran. - BERNAMA

Berita Harian X