Jumaat, 25 November 2016 | 12:01am

Bahaya suntikan kolagen


SUNTIKAN kolagen boleh menghilangkan bekas parut jerawat, garisan halus, kerutan, membentuk bibir dan pipi lebih penuh. - Foto hiasan

SEJAK kebelakangan ini, ramai yang membuat suntikan kolagen untuk mencantikkan wajah, menghilangkan kedutan dan ingin kelihatan muda. Adakah ia kaedah selamat?

Shazleen Azmi - Bangi, Selangor

Dalam dunia rawatan kecantikan, istilah kolagen sudah tidak asing lagi. Kolagen adalah salah satu bahan yang sering digunakan untuk merawat kulit dan banyak digunakan sebagai bahan dalam pelbagai produk perawatan kecantikan seperti krim, syampu, losen dan banyak lagi.

Namun ramai yang tidak mengetahui apa sebenarnya kebaikan dan keburukan kolagen. Tambahan pula ramai wanita yang mengambil suntikan kolagen untuk nampak lebih cantik.

Dalam tubuh, kolagen adalah salah satu protein semula jadi yang membentuk struktur badan manusia, biasa ditemui dalam tulang, kulit dan tendon untuk membentuk bahan asas dalam tulang, gigi, kulit, sendi dan otot.

Kira-kira 40 peratus kolagen dalam tubuh terdapat pada kulit, 10 hingga 20 peratus; sendi (7 hingga 8 peratus) dan saluran darah dan selebihnya pada bahagian yang lain.

Antara manfaat kolagen untuk tubuh manusia adalah seperti berikut:

* Penyembuhan luka

Berdasarkan fungsinya sebagai zat perekat, kolagen bermanfaat untuk menjaga keanjalan kulit. Kolagen juga bermanfaat besar dalam penyembuhan luka pada kulit. Pengurangan bekas luka akan lebih efektif pada kulit kerana kandungan kolagen tinggi.

* Mengurangkan selulit dan menganjalkan kulit

Selulit nampak seperti garis atau lekuk tidak rata di bahagian permukaan kulit akibat kekurangan kolagen. Ia penting untuk melancarkan peredaran darah, membakar lemak yang membentuk selulit dan mengembalikan keanjalan kulit.

Kandungan kolagen akan menyusut sebanyak 15 peratus mulai usia 25 tahun. Kulit akan mula kehilangan keanjalan dan menjadi kendur dengan peningkatan usia. Kedutan halus akan mulai terbentuk berpunca daripada kekurangan kolagen dan alpha hydroxy acid (AHA) dalam kulit), kerana salah satu fungsi AHA untuk kulit adalah menganjalkan dan mengurangkan kerutan serta garis halus.

Justeru, pakar kecantikan sentiasa mencari kaedah memperbarui kolagen dalam tubuh untuk mengekalkan awet muda.

Banyak implikasi negatif

Suntikan kolagen juga boleh menghilangkan bekas parut jerawat, garisan halus, kerutan, membentuk bibir dan pipi lebih penuh. Tetapi, suntikan kolagen juga mempunyai lebih keburukan daripada kebaikan.

Ada dua jenis bahan kolagen yang biasa digunakan iaitu sumber Bovin yang berasal daripada jaringan kulit haiwan dan daripada manusia.

Suntikan kolagen mula diharamkan penggunaan dalam bidang kosmetik, sejak awal tahun 2000 disebabkan implikasi keburukan lebih daripada kebaikannya. Hanya makanan tambahan kolagen dalam bentuk pil dibenarkan.

Risiko pada kesihatan

Risiko kulit dan kesihatan secara amnya dikenal pasti berpunca daripada suntikan kolagen:

- Alahan

Alahan timbul apabila bahan yang banyak digunakan untuk suntikan kolagen berasal daripada jaringan kulit haiwan kerana ia mungkin tidak serasi dengan sel atau tisu badan manusia.

Kaedah suntikan fillers yang dihasilkan daripada bahan jenis Hyaluronic Acid sahaja di benarkan. Ini disebabkan kompatibiliti hampir 95 peratus dengan tisu dan sel kulit manusia. Hanya doktor berdaftar saja dibenarkan untuk melakukan suntikan ini.

- Bahaya pada wanita hamil dan yang menyusui bayi

Wanita yang sedang hamil atau menyusukan bayi tidak disarankan melakukan suntikan kolagen, kerana ia boleh menimbulkan komplikasi pada kehamilan ataupun pada kandungan air susu yang diminum bayi.

- Bahaya pada penderita penyakit autoimun

Penderita penyakit autoimun juga tidak disarankan membuat suntikan kolagen kerana ia boleh memudaratkan sistem pertahanan badan manusia, teurtama apabila menghidap penyakit jenis autoimmune contohnya, systemic lupus erythematous (SLE).

- Alahan teruk

Disebabkan prosesnya mirip seperti memasukkan benda asing ke dalam tubuh, maka badan manusia juga akan menolak kolagen itu disebabkan kurangnya kompatibiliti.

Ini mungkin membawa kesan seperti alahan teruk, atau lebih memudaratkan seperti kematian

- Bahaya barang yang digunakan untuk suntikan tidak bersih

Jika peralatan yang digunakan tidak di steril atau dilakukan selain daripada doktor pakar di klinik, ia berisiko dikhuatiri suntikan terkena pada kulit radang bakteria. Mungkin peralatan mengandungi kotoran atau kuman ketika proses suntikan dilakukan.

- Meninggalkan parut

Bagi yang tidak sesuai dengan rawatan ini, ia membuat kulit mengalami perubahan pada bahagian lapisan kedua di mana timbul parut.

Perkara sebegini terjadi disebabkan kesalahan dalam teknik suntikan kolagen.

Suntikan yang silap mungkin mewujudkan gumpalan keras di bawah permukaan kulit dan menimbulkan jaringan parut pada kulit.

Luka bekas suntikan juga dapat menjadi salah satu penyebab keloid pada kulit, iaitu parut timbul yang keras.


KOLAGEN adalah salah satu bahan yang sering digunakan untuk merawat kulit dan banyak digunakan sebagai bahan dalam pelbagai produk perawatan kecantikan seperti krim, syampu, losen dan banyak lagi. - Foto hiasan

Pilihan selebriti

Kaedah pilihan ubah bentuk bibir suntikan kolagen antara rawatan popular dalam kalangan wanita terutama selebriti mendapatkan refleksi wajah jelita.

Mereka sanggup berbelanja mewah untuk suntikan kolagen ini meskipun ada kalangan mereka yang tidak mendapat wajah idaman, sebaliknya membawa padah akibat pelbagai faktor.

Bagi model kelahiran California, Priscilla Caputo, 30-an, melakukan suntikan kolagen pada bibirnya dengan tujuan menambahkan seksi dan mahu tampil lebih menawan.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan sebaliknya membuatkan dia tertekan sehingga hampir membunuh diri selepas kerana suntikan secara berlebih-lebihan memusnahkan kecantikan semula jadinya.

Dalam tempoh tiga tahun melakukannya, Priscilla beranggapan dia seperti seekor raksasa kerana bibirnya kelihatan seperti kartun di dalam televisyen.

Memuji penampilan

Sementara itu, bagi bintang realiti, Kylie Jenner, biarpun tidak menyatakan dengan jelas dia melakukan suntikan kolagen pada bibirnya, tetapi setiap kali muat naik gambarnya, lebih 60 juta pengikutnya mengetahui dan dapat melihatnya dengan jelas.

Ramai pengikutnya memuja kehidupannya, badan dan penampilannya. Dia memang kelihatan hebat dengan suntikan kolagenpada bibir benar-benar mengubah keseluruhan wajahnya.

Dengan hanya melakukan suntikan kolagen, ia memperbaiki perubahan pada penampilannya persis selebriti Hollywood, Kimberly Kardashian yang sangat dicemburui.

Suntikan kolagen pada bibir seolah-olah sudah menjadi trend dan pilihan ramai remaja di seluruh dunia untuk mendapatkan wajah yang sempurna.

367 dibaca
Berita Harian X