Khamis, 24 November 2016 | 6:55pm

Jururawat halang warga Myanmar terjun tingkat 6 hospital

SUNGAI PETANI: Tindakan pantas jururawat bertugas menggagalkan hasrat bunuh diri seorang lelaki warga Myanmar dengan cuba terjun dari tingkat enam bangunan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.40 petang, lelaki terbabit memanjat tingkap Wad Kenanga untuk terjun, namun disedari jururawat bertugas yang kemudian menjerit memanggil bantuan, sebelum beberapa jururawat bergegas membantu.

Wartawan BH yang kebetulan berada di HSAH sempat merakamkan detik cemas itu termasuk usaha beberapa jururawat menarik lelaki terbabit yang ketika itu sebahagian besar tubuhnya kelihatan bergayut di luar tingkap.

Aksi itu berlalu hanya beberapa saat dengan lelaki yang ketika itu memakai seragam pesakit, ditarik masuk sebelum pengawal bertugas menjaga tingkap terbabit bagi memastikan keselamatan.

Jurucakap HSAH berkata, pihaknya memandang serius kejadian terbabit dan akan memastikan kejadian sama tidak berulang.


SEORANG lelaki warga Myanmar cuba terjun dari tingkat enam bangunan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, petang tadi.

Berita Harian X