Khamis, 24 November 2016 | 2:03pm

Mata wang negara membangun Asia jatuh ketara

SINGAPURA: Mata wang negara membangun Asia jatuh ketara hari ini susulan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mengambil langkah lebih agresif mengawal ekonominya, menambahkan lagi tekanan sedia ada daripada pulangan Perbendaharaan dan kebimbangan berhubung dasar perlindungan perdagangan Washington.

Yuan China mencecah paras terendah lapan setengah tahun.

Ringgit mencecah paras terendah hampir 14 bulan, menjejaki penyusutan dalam kebanyakan harga bon kerajaan.

Rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah hampir enam bulan berikutan pelabur asing terus menjual saham tempatan. Mata wang itu jatuh 0.4 peratus kepada 13,540 berbanding dolar AS, terendah sejak 3 Jun.

Dolar Singapura mencecah paras terendah 10 bulan disebabkan pengukuhan dolar AS dan tindakan negara itu merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi dan eksportnya untuk tahun ini selepas mencatat penguncupan pada suku ketiga.

Peso Filipina pula jatuh ke paras yang kali terakhir dilihat pada November 2008, juga kerana pelabur asing menjual saham Manila.

Dolar AS berlegar sekitar paras puncak 14 tahun berbanding enam mata wang utama berikutan pasaran kini mengambil kira hampir 100 peratus kemungkinan Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah, demikian menurut CME FedWatch.

Pihak berkuasa tukaran asing di India, Indonesia dan Filipina dijangka masuk campur bagi mengawal kejatuhan nilai mata wang negara masing-masing, kata pedagang mata wang.

Won Korea Selatan, menerajui kejatuhan serantau disebabkan aliran keluar bon dan pelabur asing pula bersiap sedia melupuskan pegangan dalam pasaran saham.

Won jatuh susulan Korea Selatan mencatat aliran keluar bon bernilai 878.1 bilion won (AS$742.2 juta) dalam tempoh 23 hari pertama bulan ini, demikian menurut data awal. Pelabur asing juga menjual saham bernilai 125.4 bilion won dalam pasaran tempatan. - Reuters

Berita Harian X