Khamis, 24 November 2016 | 1:17pm

Pelajar UiTM maut rempuh kereta


MUHAMMAD Farhan Saleh meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta di Jalan Batang Tiga di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam berhampiran Kondominium Seri Bayan itu, Muhammad Farhan Saleh, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Volkswagen Passat dipandu lelaki berusia 46 tahun dari persimpangan lampu isyarat Lereh ke Batang Tiga, dikatakan ingin membelok memasuki kondominium terbabit sebelum dirempuh.

"Ketika kereta itu membelok, sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggangi pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan itu melanggar pintu Volkswagen berkenaan.

"Mangsa dilaporkan tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X