Khamis, 24 November 2016 | 7:52am

Messi bantu Barcelona mara ke 16 terbaik

LIONEL Messi. - Foto Reuters

GLASGOW: Lionel Messi yang membarisi semula kesebelasan utama Barcelona meledak dua gol sekali gus membantu gergasi La Liga itu mara ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas menewaskan Celtic 2-0 awal pagi tadi.

Messi, yang tersisih ketika Barcelona seri tanpa jaringan menentang Malaga Sabtu lalu gara-gara sakit, menyudahkan hantaran Neymar untuk membolehkan juara Sepanyol itu mendahului pada minit ke-24.

Kapten Barcelona itu yang melakar hatrik ketika membelasah Celtic 7-0 dalam aksi pertama peringkat kumpulan di Camp Nou, kemudian menyempurnakan sepakan penalti selepas Luis Suarez dikasari untuk membolehkan mereka menduduki tangga teratas kumpulan dengan 12 mata daripada lima perlawanan.

Manchester City yang seri 1-1 dengan Borussia Monchengladbach dalam satu lagi perlawanan kumpulan turut mengikut jejak Barcelona dan bermakna Celtic tidak boleh memintas kelab Jerman itu di tempat ketiga berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini.

"Ia adalah perlawanan yang sukar dan Celtic turun dengan semangat tinggi. Ia membuatkan perlawanan sukar," kata pengurus Barcelona Luis Enrique.

"Ini aksi peringkat kumpulan yang sukar dan bagus untuk kami mengesahkan tempat lebih awal."

Pengurus Celtic Brendan Rodgers menyifatkan barisannya memperagakan aksi lebih baik berbanding ketika dibelasah Camp Nou, walaupun perjalanan mereka di Eropah berakhir sekali lagi.

"Saya bangga dengan pasukan malam ini. Kami beraksi tanpa gentar dan memberi tekanan kepada lawan," kata Rodgers. - AFP

Berita Harian X