Rabu, 23 November 2016 | 1:08am
MUHAMMAD Nur Aiman Khairuddin dan Timmy Tan

Nur Aiman, Timmy terlepas emas ketiga di Johannesburg

KUALA LUMPUR: Nasib tidak menyebelahi gandingan Muhammad Nur Aiman Khairuddin dan Timmy Tan untuk menyumbang pingat emas ketiga buat Malaysia apabila terlepas tiga mata saat akhir.

Mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara beregu lelaki di Kejohanan Tenpin Boling Komanwel ketujuh di Johannesburg, Afrika Selatan, hari ini.

Gandingan Muhammad Nur Aiman dan Timmy mendahului peserta-peserta lain sehingga ke 'game' kelima sebelum dipintas gandingan tuan rumah, Quintin Haywood dan Andrew Cyster dengan hanya tiga mata dalam game terakhir.

Mereka mengumpul 2,858 jatuhan pin dan ketinggalan berbanding beregu tuan rumah yang mengumpul 2,861 jatuhan pin untuk pingat emas.

Pingat gangsa menjadi milik beregu England, Sam Rose dan Elliot Crosby dengan 2,581 jatuhan pin.

Terdahulu, Malaysia hari ini meraih pingat emas kedua melalui pemain veteran, Shalin Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dalam acara beregu wanita.

Semalam, Muhammad Nur Aiman dan Timmy menghadiahkan pingat emas dan perak melalui acara perseorangan lelaki.

Esok mereka akan meneruskan saingan di Northcliff Bowl dalam acara beregu campuran pula. - BERNAMA

Berita Harian X