Khamis, 4 Disember 2014 | 11:40pm
KETUA Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias. - Foto Rosli Mat Tahir

ADUN BN Selangor junjung keputusan Sultan tarik balik darjah kebesaran Anwar

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor menjunjung penuh keputusan Sultan Selangor menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsuddin Lias, yang mewakili 11 ADUN BN lain, berkata penarikan balik Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Anwar adalah tindakan wajar dengan mengambil kira tindakan beliau yang sengaja menimbulkan krisis jawatan Menteri Besar Selangor sejak akhir tahun lepas.

"Justeru, kami Adun BN berpendapat penarikan darjah kebesaran ini dibuat berdasarkan kuasa dan hak mutlak Tuanku Sultan," katanya pada sidang berita di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pada Khamis, berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri ke atas Anwar berkuat kuasa 3 Nov lepas.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat atas perlakuan Anwar sejak akhir tahun 2013 yang mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor serta institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor pada tahun ini.

Susulan penarikan balik darjah kebesaran itu, Mohd Shamsuddin yang juga ADUN Sungai Burong, mendesak Anwar meletakkan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shamsuddin berkata, pihaknya menolak pelantikan sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor seperti mana diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kerana tidak berpuas hati dari segi komposisi wakil ADUN BN dalam jawatankuasa itu.

Sementara itu, Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh memberitahu sidang akhbar bahawa Mohd Shamsuddin tidak boleh berbuat demikian kerana Peraturan Tetap dewan 68(1) yang dipinda dalam sesi dewan kali ini menetapkan bahawa ketua pembangkang Selangor perlu mengetuai jawatankuasa PAC.

Beliau juga berkata, sebanyak 14 laporan jawatankuasa pilihan termasuk laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor mengenai isu air lombong diluluskan pada sesi dewan kali ini.

Menurutnya dewan turut meluluskan Peraturan Tetap baharu 10A bagi membolehkan setiap sidang dewan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan laman sesawang.

Persidangan dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - BERNAMA

36 dibaca
Berita Harian X