Selasa, 22 November 2016 | 9:30am

Tiga beranak maut nahas kereta


KEMALANGAN membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3.5 Jalan Ipoh - Lumut di selekoh Puncak Jelapang Maju yang mengorbankan tiga beranak awal pagi tadi

IPOH: Tiga beranak maut selepas kereta dinaiki dirempuh dua kenderaan lain di Kilometer 3.5, Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran selekoh Puncak Jelapang Maju, di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 1.15 pagi itu, Muhammad Syafiq Isyammuddin, 25, serta dua anaknya berusia satu dan dua tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa berusia 28 tahun serta seorang lagi wanita berusia 79 tahun dan seorang lelaki berusia 34 tahun pula parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, sebuah kereta Mazda dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari Sitiawan menghala ke Ipoh, dipercayai bergesel dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki Muhammad Syafiq dari arah bertentangan.

"Sebuah kereta Toyota Camry dari arah bertentangan dipercayai cuba mengelak kereta mangsa namun gagal hingga mengakibatkan Toyota Camry itu berpusing sebelum melambung dan merempuh kereta mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Jamil berkata, akibat rempuhan itu, tiga beranak tercampak dari kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, dua penumpang kenderaan pacuan empat roda dan pemandu lelaki Toyota Camry serta penumpangnya parah sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Mayat tiga beranak dibawa ke Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X