Isnin, 21 November 2016 | 5:02pm
AHMAD Razif ketika membentangkan Bajet Terengganu 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

13,000 kakitangan kerajaan negeri dapat bonus RM500

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian bonus RM500 kepada 13,000 penjawat awam di negeri ini.

Mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Bajet Terengganu 2017, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata bonus akan diagihkan pada Januari depan.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM6.5 juta untuk tujuan itu, sebagai penghargaan di atas komitmen dan kerjasama penjawat awam kerajaan negeri dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Penjawat awam adalah nadi kerajaan. Tanpa mereka sistem penyampaian kerajaan tidak akan berfungsi dengan jayanya.

"Bonus ini diberikan kepada semua yang membantu perkhidmatan kerajaan termasuk kakitangan Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA), kakitangan sementara dan kontrak serta guru pintar al-Quran di negeri ini," katanya.

Ahmad Razif berkata, walaupun berdepan kekangan hasil, kerajaan negeri tetap membayar bonus sebagai penghargaan kepada penjawat awam, selain tidak menghentikan pelbagai bantuan dan dana untuk rakyat negeri ini.

16 dibaca
Berita Harian X