Isnin, 21 November 2016 | 3:25pm

Anuar Zain terima hadiah jam Rolex

ANUAR bersyukur kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Anuar Zain, 46, mendapat kejutan apabila seorang peminat menghadiahkan seutas jam tangan mewah berjenama Rolex ketika menjayakan acara Exclusive Meet & Greet di sebuah restoran di sini, petang semalam.

Anuar memberitahu, jam tangan itu adalah hadiah paling mahal yang pernah diterimanya sepanjang tiga dekad bergelar anak seni.

"Terkejut sangat sebab tak pernah seumur hidup orang hadiahkan barang semahal ini. Saya pula jenis orang yang tak begitu gemar menerima hadiah.

"Walau apapun, saya bersyukur kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni tanpa mengharapkan apa-apa balasan," katanya kepada BH Online.

Menurut penyanyi bervokal mantap ini, dia masih mempromosikan album solo kelimanya melalui majlis Exclusive Meet & Greet With Anuar Zain yang menjadi salah satu rangka program.

Bercerita mengenai jadual kerjanya sekarang, adik kepada penyanyi Ziana Zain mengaku hujung minggu cukup sibuk buatnya.

"Saban minggu, jadual saya dipenuhi dengan acara mempromosikan album ini melalui kerjasama dengan pasar raya Mydin.

"Seronok dan terharu dapat berjumpa peminat yang mengucapkan terima kasih kerana sudi turun padang untuk beramah mesra dengan mereka.

"Sebagai penyanyi, kita tak perlu malu mengunjungi pusat beli-belah mempromosikan album. Ini kerana kita boleh bertemu peminat sambil mendengar maklum balas dan komen mereka mengenai produk kita," katanya.

Pada majlis itu, Anuar turut menyampaikan empat lagu termasuk dua lagu baharu berjudul Andainya Takdir dan Belahan Hati.

Selepas lebih sebulan dipasarkan, album Anuar sudah terjual lebih 11,000 unit.

Berita Harian X