Isnin, 21 November 2016 | 11:47am

Remaja cuba seludup 36 tong gas LPG


ANTARA tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM4,680 yang dirampas di perairan Bangau-Bangau, Semporna, malam tadi.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan seorang remaja menyeludup keluar 36 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM4,680 di perairan Bangau-Bangau, dekat sini, malam tadi.

Remaja lelaki berusia 14 tahun itu ditahan dalam Ops Tugas Khas pada jam 10.20 malam ketika menaiki perahu yang membawa LPG berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata pasukan itu menahan perahu berkenaan untuk pemeriksaan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati perahu itu membawa 36 tong gas LPG yang dipercayai cuba diseludup untuk dipasarkan ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membawa tong gas itu.

"Nilai rampasan termasuk perahu dan enjin sangkut dianggarkan RM17,880," katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

11 dibaca
Berita Harian X