Ahad, 20 November 2016 | 7:51am

Liverpool lepas peluang kukuh kedudukan


PERTAHANAN Southampton, Virgil van Dijk (dua dari kanan) menanduk bola melepasi pemain Liverpool Liverpool, Roberto Firmino (dua dari kiri) dan rakan sepasukan, Joel Matip (tiga dari kiri) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP

SOUTHAMPTON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan selaku pencabar utama kejuaraan selepas terikat tanpa jaringan menentang Southampton, tengah malam tadi.

Anak buah Jurgen Klopp itu menguasai sebahagian besar permainan namun penjaga gawang Southampton, Fraser Forster cemerlang menafikan percubaan bekas rakan sepasukannya, Sadio Mane di babak pertama selain Philippe Coutinho, Roberto Firmino serta Nathaniel Clyne terlepas peluang menjaringkan gol pada separuh masa kedua.

Liverpool kekal mendahului carta liga mengatasi Manchester City menerusi perbezaan gol namun boleh dipintas Chelsea andai The Blues meraih kemenangan ke atas Middlesbrough, awal pagi esok.

Skuad The Reds memiliki peluang terbaik membuka jaringan pada minit ke-28 selepas hantaran Georginio Wijnaldum menemui Mane namun percubaan Mane berjaya ditepis keluar Forster.

Lima minit sebelum tamat separuh masa, Mane sekali lagi beroleh peluang namun terjahan Virgil Van Dijk berjaya menutup ruang daripada pemain Senegal itu untuk melakukan percubaan.

Babak kedua menyaksikan Liverpool terus kecewa apabila tidak diberikan sepakan penalti meskipun Van Dijk dilihat menarik baju Firmino dan Forster sekali lagi menafikan percubaan Mane sebelum percubaan Coutinho tersasar.

Keputusan seri terbabit sudah cukup melegakan Southampton selepas tewas dua aksi berturut-turut di tangan Chelsea dan Hull. - AFP

56 dibaca
Berita Harian X