Sabtu, 19 November 2016 | 4:58pm

Operasi bersepadu gempur penempatan PATI

MELAKA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggempur lapan lokasi disyaki penempatan warga asing melakukan kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu di negeri ini.

Dalam serbuan ke lapan lokasi itu, antaranya di Tambak Paya, Tiang Dua, Taman Merdeka, Paya Rumput dan Sungai Udang, seramai 13 lelaki warga asing berusia 19 hingga 40 tahun berjaya ditahan.

Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman, berkata operasi bersepadu 'ID JPN' itu dilancarkan susulan aduan orang awam dan risikan jabatan berkenaan selama sebulan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 12 kes direkodkan membabitkan kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu, manakala satu kes warga asing menggunakan kad pengenalan milik orang lain," katanya ketika ditemui selepas operasi terbabit.

Norazle berkata, semua warga asing berkenaan mendakwa berasal dari Sulawesi, Indonesia dan Zamboanga, Filipina.

"Mereka dibawa ke pejabat JPN untuk tujuan dokumentasi dan disiasat mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 4.30 pagi itu disertai 32 kakitangan JPN, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berita Harian X