Sabtu, 19 November 2016 | 11:48am

Akid sandaran buru gelaran juara keseluruhan CP115


MOHD Akid Aziz .

KUALA LUMPUR: Pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor kini memburu gelaran keseluruhan keempat pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 yang dijadual bermula hari ini hingga esok di Taiping, Perak.

Sandaran itu diletakkan kepada pelumba muka baharu mereka musim ini, Mohd Akid Aziz bagi meraih gelaran juara keseluruhan kategori CP115 selepas pasukan mengecap tiga gelaran sebelum ini iaitu juara berpasukan dan individu CP130 serta juara berpasukan CP115.

Pada Pusingan 8 di Temerloh, PETRONAS Yamaha Maju Motor mengesahkan gelaran juara berpasukan CP130 sebelum disusuli dengan gelaran keseluruhan individu menerusi pelumba muda sensasi, Kasma Daniel Kasmayuddin selain juara berpasukan untuk kategori CP115 di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Akid kini mengumpul 126 mata keseluruhan dan mempunyai kelebihan 18 mata daripada rakan sepasukan, Mohd Haziq Mohd Fairues dan juga Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang berkongsi 108 mata.

Pada perlumbaan di Taiping minggu ini, Akid yang akan genap 18 tahun pada 2 Disember ini hanya perlu menamatkan perlumbaan di kalangan lapan pelumba terbaik bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP115.

Mengulas mengenai perlumbaan di pusingan kemuncak musim itu, Akid berkata: "Saya sedikit berdebar namun masih yakin untuk memberi aksi terbaik bagi menghadapi perlumbaan minggu ini.

"Jika berjaya, ini adalah kejuaraan pertama saya dan untuk memenangi gelaran, saya tidak perlu untuk muncul juara di Taiping. Dapat berada di antara lima pelumba terbaik sudah memadai, namun lebih manis jika dapat menaiki podium.

"Jika diimbas kembali, saya bukanlah pelumba pilihan pada awal musim 2016 tetapi kerja keras untuk memperbaiki kelemahan berjaya membantu saya untuk mencapai apa yang ada pada hari ini.

"Kini hanya satu perlumbaan yang menjadi pemisah antara saya dan gelaran keseluruhan CP115. Mudah-mudahan semua berjalan lancar," katanya.

Berita Harian X