Jumaat, 18 November 2016 | 11:26am
COAHUILA, Mexico.

Bekas datuk bandar Mexico ditahan

BANDAR MEXICO: Bekas datuk bandar dari negeri Coahuila, Mexico, ditahan selepas didakwa terbabit dalam satu daripada pembunuhan beramai-ramai paling kejam yang dilakukan kumpulan Zetas, menurut Pejabat Peguam Negeri.

Sergio Lozano yang berkhidmat sebagai Datuk Bandar Allende pada 2011, ditangkap atas tuduhan menculik, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negeri tanpa menjelaskan peranan beliau dalam kematian sehingga 300 orang di bandar itu dan kawasan sekitarnya.

Jurucakap Parti Bertindak Kebangsaan (PAN) di Coahuila, parti politik dianggotai Lozano, tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut.

Menurut laporan kerajaan, Zetas menyasarkan penduduk di bandar itu untuk membalas dendam terhadap perbuatan anggota kumpulan itu yang disyaki mencuri keuntungan jualan dadah.

Laporan yang diterbitkan pada Oktober itu mendakwa antara 160 dan 200 anggota kumpulan bersenjata yang disokong polis perbandaran, menculik penduduk Allende dan agak mustahil Lozano tidak mengetahui kejadian itu.

Hector Moreno, seorang anggota Zetas yang melarikan diri dari kumpulan itu ke Texas, memberi keterangan bahawa sehingga 300 orang dibunuh dalam pembunuhan beramai-ramai itu.

Beliau juga berkata Zetas menyeludup lima tan kokain setahun merentasi sempadan antara 2007 dan 2011, dan membayar pihak berkuasa tempatan di Coahuila untuk melindungi mereka. - Reuters

Berita Harian X