Jumaat, 18 November 2016 | 12:18am

Apa kaitan Aiman Tino dan Herman Tino?

NAMA Aiman Tino sememangnya kencang meniti bibir peminat seni hiburan ketika ini. Semuanya gara-gara populariti diraih single Ku Rela Dibenci yang bukan saja mendaki carta lagu popular di beberapa stesen radio tanah air, malah video muzik rasminya sehingga kini sudah ditonton lebih 21 juta kali di laman YouTube.

Dicipta oleh bapanya sendiri, Yusri Ishak, dan ibunya, Riena, selaku penulis lirik, lagu terbabit membolehkan remaja berusia 18 tahun ini mencatat sejarah sebagai penyanyi Malaysia pertama yang mencatat angka tontonan setinggi itu di laman popular terbabit.

Lebih membanggakan, ia juga antara karya yang layak bersaing pada Anugerah Juara Lagu ke-31, yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Januari depan.

Melihat namanya, ramai yang tertanya-tanya apakah Aiman mempunyai kaitan dengan penyanyi berpengalaman, Herman Tino? Apatah lagi kedua-duanya berasal dari Selangor.

Begitupun, dalam pertemuan bersama BH baru-baru ini, anak keempat daripada 10 adik-beradik berasal dari Kuala Kubu Bharu ini menjelaskan, antara mereka tiada pertalian keluarga.


PENYANYI, Aiman Tino. - Foto Munira Abdul Ghani

Nama Aiman Tino itu, kata pemilik nama sebenar Muhammad Aiman Yusri ini, adalah nama timangan dirinya sejak kecil lagi.

"Ia nama timangan saya di rumah sejak kecil. Ibu saya memang meminati Herman Tino. Kebetulan, nama saya sendiri pun seakan-akan namanya. Aiman dan Herman hampir sama sebutannya. Dari situ jugalah nama saya melekat sebagai Aiman Tino.

"Hendak dijadikan cerita juga, saya mempunyai tiga kawan rapat bernama Aiman, yang juga akrab dengan keluarga saya. Jadi, ibu bapa saya siap menggelarkan kami dengan nama tertentu. Saya sebagai Aiman Tino dan lucunya, kawan saya yang lain dipanggil Aiman Gemuk, Aiman Putih dan Aiman Tinggi. Kiranya, gelaran itulah yang membezakan kami," katanya.

Sebelum dikenali sebagai penyanyi, anak muda ini dikatakan terlebih dulu menjadi penjual char kuetiau di sebuah restoran di Kuala Kubu Bharu.

"Betul, saya memang ada juga sedikit bakat memasak char kuetiau. Sekarang ini pun, jika ada kelapangan saya pasti membantu keluarga di restoran itu.


MUHAMMAD Aiman Yusri atau lebih dikenali sebagai Aiman Tino. - Foto Munira Abdul Ghani

"Alhamdulillah, restoran diusahakan keluarga semakin berkembang selepas diri saya dikenali. Ramai juga yang datang ke restoran untuk berjumpa dengan saya di situ.

"Sesekali dan kalau ada rezeki, memang saya akan berada di restoran itu. Antara hidangan yang menjadi pilihan pelanggan di restoran terbabit pula ialah asam pedas, selain nasi lemak dan char kuetiau yang saya perkenalkan dengan air tangan sendiri," katanya.

Menurut Aiman, jika mempunyai rezeki lebih, beliau teringin untuk mengembangkan lagi perniagaan terbabit dengan membuka cawangannya di tempat lain, termasuk Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai sikapnya di rumah, remaja yang bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang muzik dan perniagaan ini berkata, beliau agak tegas dan garang bersama adik-adik.

Beliau turut mendedahkan, rata-rata adik-beradiknya berkebolehan dalam nyanyian dan menggemari seni.


SEBELUM dikenali sebagai penyanyi, Aiman terlebih dulu menjadi penjual char kuetiau di sebuah restoran di Kuala Kubu Bharu. - Foto Munira Abdul Ghani

"Namun, nampaknya saya yang lebih dulu menembusi pasaran muzik," katanya sambil memaklumkan, bapanya sendiri pernah bergelar finalis Bintang HMI 1992.

Menyentuh soal muzik, Aiman mengaku dirinya lebih cenderung menyanyikan lagu berentak balada atau jiwang berbanding genre lain.

"Dari kecil, kalau ayah petik gitar, memang saya akan nyanyikan lagu berentak jiwang. Ketika masih kecil juga, lagu dendangan New Boyz antara yang menjadi pilihan. Boleh dikatakan, saya suka lagu tangkap 'leleh'. Saya juga suka lagu Bidadari daripada kumpulan Lela," katanya.

Mengimbas kembali perjalanan seninya, Aiman menjelaskan beliau sebenarnya tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi walaupun meminati nyanyian sejak dulu lagi.

"Sejak kecil saya sudah didedahkan kepada bidang nyanyian. Saya banyak menyertai pertandingan pada peringkat sekolah. Bapa juga selalu membawa saya menyanyi di bazar sekitar Kuala Lumpur.

"Saya kini hanya meneruskan cita-cita ayah yang pernah teringin menjadi penyanyi. Begitupun sejujurnya, hingga saat ini saya tak sangka niat ayah yang asalnya mencipta lagu sekadar suka-suka, buat julung kali, selain mahu memuatnaiknya di YouTube menjadi sebaliknya. Memang rezeki kami apabila lagu itu meletup.

"Ku Rela Dibenci juga mengubah nasib saya apabila dilamar oleh Aries Music Production, bagi tempoh selama tiga tahun," katanya yang kini muncul pula bersama single kedua berjudul Permata Cinta, hasil ciptaan komposer baharu, Apit, dan bapanya sebagai penulis lirik.

89 dibaca
AIMAN teringin untuk mengembangkan lagi perniagaan char kuetiau dengan membuka cawangannya di tempat lain, termasuk Kuala Lumpur. - Foto Munira Abdul Ghani
AIMAN hanya meneruskan cita-cita ayah yang pernah teringin menjadi penyanyi. - Foto Munira Abdul Ghani
Berita Harian X