Khamis, 17 November 2016 | 10:17pm

Azam `tinggalkan' UPM, kembali ke SSTMI


ATLET negara, Muhammad Azam Masri.

KUALA LUMPUR: Kekangan menjalani latihan dan berjauhan daripada jurulatih mendorong atlet negara, Muhammad Azam Masri, menangguhkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Muhammad Azam, penuntut semester satu Ijazah Sarjana Muda Komunikasi UPM, menyifatkan tindakan itu tidak merugikannya dalam misi mengharumkan nama negara pada temasya Sukan SEA, Kuala Lumpur, bermula pada 19 hingga 31 Ogos 2017.

Atlet berusia 20 tahun dan beraksi dalam acara 400 dan 4x400 meter (m) itu sudah berlatih bersama Mohd Poad Md Kassim sejak enam tahun lalu dan tidak pernah berpisah, namun tidak mempunyai jurulatih ketika berpindah ke UPM.

"Saya hanya berada di UPM, Serdang kira-kira sebulan sebelum menangguhkan pengajian kerana tidak mempunyai jurulatih. Jurulatih saya (Mohd Poad) berada di Johor, jadi saya terpaksa berlatih sendiri di UPM.

"Tapi saya tidak rasa rugi dengan penangguhan ini kerana ingin tumpukan kepada latihan dan berkorban demi negara untuk menyertai Sukan SEA, Kuala Lumpur.

"Saya akui akan lebih fokus jika berlatih di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), malah saya sendiri belum bersedia mencari jurulatih lain," katanya.

Mengulas lanjut, atlet mewakili Melaka itu berhasrat meraih dua pingat emas di Sukan SEA, 2017, masing-masing dalam acara 400 dan 4x400m, selain percubaan untuk memecahkan rekod Asia Tenggara.

Rekod peribadi terbaik milik Muhammad Azam dalam acara 400m adalah 46.90s, yang dicatatkan di Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina pada 7 hingga 9 April lalu.

Pada kejohanan itu, beliau meraih pingat perak dan hanya ketinggalan 0.01s di belakang pemenang emas, Edgardo Alejan dari Filipina.

Dalam acara 4x400m pula, beliau yang membentuk gandingan bersama Mohamad Arif Zulhilmi Alet, Mohd Shamimi Azmi dan Dinesh Krishnan, mencatat kepantasan 3 minit 10.66s yang dilakukan di Sukan SEA, Singapura 2015.

Kuartet itu meraih tempat keempat selain catatan itu adalah yang terbaik setakat ini.

Berita Harian X