Khamis, 17 November 2016 | 5:55pm

YSD taja skuad berbasikal trek RM2.6j


PENGERUSI YSD, Tun Musa Hitam bergambar bersama skuad berbasikal trek YSD pada majlis penajaan skuad berkenaan, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Yayasan Sime Darby (YSD) meneruskan komitmen penajaan bagi skuad berbasikal trek dengan penajaan berjumlah RM2.6 juta bagi persediaan enam pelumba muda untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Tanpa kelibat dua pelumba senior, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, skuad berbasikal trek YSD kali ini menampilkan enam pelumba muda berusia antara 19 tahun dan 21 tahun, yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan.

Mereka adalah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Khairil Nizam Rasol, Anis Amira Rosdi, Muhammad Fadil Mohd Zonis, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Keenam-enam pelumba itu dipilih oleh Ketua Jurulatih Basikal Negara, John Beasley berdasarkan potensi mereka.

Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam, berkata kemenangan Azizulhasni memperoleh gangsa di Olimpik Rio 2016 meyakinkan mereka untuk menaja pasukan muda terbabit.

"Malangnya Azizulhasni dan Fatehah meluahkan hasrat untuk tidak meneruskan komitmen bersama YSD. Bagaimanapun, sokongan YSD sejak 2010 berjaya membantu mereka meraih pencapaian mengagumkan.

"Yayasan ini sudah mencapai objektif dalam melahirkan bakat atlet sukan muda dan membantu dua pelumba sebelum ini meneroka peluang untuk mencapai potensi sebenar mereka," katanya pada majlis penajaan skuad berbasikal trek YSD, hari ini.

Penajaan sebanyak RM2.6 juta untuk tempoh tiga tahun tujuh bulan itu akan bermula pada Februari tahun depan sehinggalah Tokyo 2020.

Sebelum ini, YSD telah memberi penajaan keseluruhan berjumlah RM4.85 juta bagi persiapan Olimpik London 2012 dan Rio 2016.

Berita Harian X