Khamis, 17 November 2016 | 12:49pm

Beri Mourinho masa bukti kejayaan - Pochettino


PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho. - Foto AFP

LONDON: Pengurus Manchester United yang kini dihimpit tekanan, Jose Mourinho memerlukan "masa untuk menjayakan ideanya" di Old Trafford, kata pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino.

Mourinho ketika ini mengharungi permulaan sukar bersama United yang menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool menjelang pertemuan sukar dengan Arsenal, Sabtu ini.

Selain di EPL, pengurus bersuara lantang itu juga dipalit kekalahan memalukan di Liga Europa dan Piala Liga Inggeris, malah sudah mengkritik secara terbuka pemainnya dan berdepan hukuman dengan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) - situasi yang ramai menganggap kedudukannya di United kini goyah.

Begitupun, Pochettino yang tampak berjaya mengubah Spurs selaku antara pencabar utama pada musim pertamanya di kelab London itu berharap, rakan sejawatnya itu diberikan masa.

"Jelas jika kamu berada di kelab yang hebat, seperti saya di Tottenham, tekanan untuk menang sentiasa hebat," kata Pochettino kepada ESPN Argentina.

"Akan sentiasa ada suara-suara yang mengkritik bila keputusan tidak memuaskan hati semua orang.

"Sudah tentu, siapa saja yang memulakan projek baharu, ia memerlukan masa. Dalam kes ini, sekali pun Jose adalah seorang daripada jurulatih terbaik di dunia, dia memerlukan masa untuk menyerap ideanya kepada pasukan supaya mereka dapat bermain seperti dia mahukan.

"Terlalu awal untuk menilai menerusi apa yang sudah berlaku dengan pasukan itu ketika ini."

Mourinho adalah bos ketiga dilantik United sejak persaraan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson pada tahun 2013 selepas 26 tahun mengemudi kelab itu. - Agensi

Berita Harian X