Khamis, 17 November 2016 | 12:26pm

Malaysia, Jepun meterai MoC pertingkat hubungan dagang


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama rakan sejawatnya, Shinzo Abe menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara Japan External Trade Organisation (JETRO) dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Pejabat Perdana Menteri Jepun hari ini.MATRADE diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud (kiri) manakala JETRO diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hiroyuki Ishige (kanan).- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Organisasi Perdagangan Luar Jepun (JETRO) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) di Tokyo, bagi meningkatkan usaha dalam mempromosi perdagangan antara kedua-dua negara.

MATRADE dalam satu kenyataan berkata, MoC itu menandakan komitmen padu bagi memperhebatkan lagi kerjasama dalam bidang yang memberikan manfaat bersama, seperti mempermudahkan aktiviti promosi perdagangan, pertukaran maklumat, kerjasama dalam program dan projek khusus bagi mempromosi sektor halal.

Pemeteraian MoC itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawat dari Jepun Shinzoō Abe.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif bersempena misi perdagangan dan pelaburan ke Tokyo yang diterajui Najib.

Pada majlis itu, Najib mencadangkan supaya Malaysia menjadi penasihat halal Jepun dalam persediaan negara itu menganjurkan sukan Olimpik Tokyo 2020, khususnya dalam menyediakan nasihat berhubung pematuhan Syariah bagi produk dan perkhidmatan yang akan dibekalkan kepada pengguna beragama Islam semasa acara sukan terbesar dunia itu diadakan nanti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata Jepun menyifatkan jenama Malaysia sebagai memiliki kualiti terbaik, sehubungan itu, meraih kesetiaan ramai pengguna Jepun.

"Kami meramal permintaan kukuh bagi produk Malaysian pada Olimpik Tokyo 2020, khususnya dalam segmen halal," katanya.

Berita Harian X